
POKOK kelapa sawit telah membesar dan mengeluarkan hasil, mewarnai perubahan Felda Bersia, Gerik, Perak, yang merupakan ‘Felda getah’ sejak mula diduduki peneroka pada 1963. Ketika tiba waktu tanam semula beberapa tahun lalu, getah diganti dengan sawit.
Felda Bersia merupakan antara yang tertua di negara ini. Ia diteroka pada tahun 1960 dan mula menempatkan peneroka pada 1963 bagi Peringkat Satu. Seterusnya Peringkat Dua pada 1965 dan Peringkat Tiga pada 1968.
Getah yang sudah berdekad-dekad menjadi sumber pendapatan peneroka, ditukar dengan kelapa sawit atas kehendak dan persetujuan majoriti peneroka, serta mendapat kelulusan Felda. Bagi peneroka, sudah sampai masa untuk berubah. Tambahan harga sawit dilihat lebih baik daripada getah.
Sawit juga lebih mudah diurus. Peneroka tidak perlu keluar dalam kegelapan pagi untuk menoreh seperti sebelum ini. Habis menoreh datang balik ke kebun pada tengahari untuk mengutip susu getah atau getah skrap untuk dibawa ke pusat pengumpulan dan pembelian.

Berkunjung ke Felda Bersia pada hari ketiga Aidilfitri baru-baru mengembalikan memori penulis kepada pokok getah yang tegak berdiri dengan daun melambai, pemandangan yang penulis saksikan sejak pertama kali menjejakkan kaki ke tanah rancangan itu pada tahun 1984.
Tahun 1984 amat bermakna kerana itulah pertama kali penulis sampai ke pekan Gerik dan Felda Bersia. Tujuannya untuk berjumpa dan berkenalan dengan keluarga gadis pilihan hati yang merupakan anak peneroka Felda Bersia, dan akhirnya menjadi suri rumah tangga.
Waktu itu, Gerik masih dikategorikan kawasan hitam dengan ancaman pengganas komunis, berangkai dengan dua lagi kawasan bersempadan iaitu Keroh (Pengkalan Hulu) dan Baling di Kedah. Pos kawalan tentera didirikan di lokasi tertentu sebagai pusat kawalan dan pemeriksaan.
Dari pekan Gerik, laluan ke Feda Bersia bersambung terus ke Lebuh Raya Timur Barat yang dibuka pada Julai 1982, menghubungkan Gerik dengan Jeli di Kelantan. Tiada sebarang kenderaan dibenar merentas lebuh raya untuk ke Jeli dan sebaliknya selepas pukul 6 petang.
Di pos kawalan, anggota tentera akan bertanya ke mana tujuan jika sampai selepas 6 petang. Jika ke Felda dibenarkan. Tetapi jika berhasrat ke Jeli pemandu akan diarah berpatah balik. Begitu juga dari Jeli ke Gerik. Semua ini atas faktor keselamatan. Jangan cuba bermain silap mata kononnya hendak ke Felda pada pos kawalan pertama.
Ini kerana ada satu lagi pos kawalan selepas simpang ke Felda Bersia. Pemandu tidak boleh berdalih lagi melainkan berpatah balik kerana Felda Bersia ialah garis penamat menyekat kenderaan yang cuba untuk ke Jeli. Halangan direntang di lebuh raya.
Sekatan ini berkuatkuasa sehingga tahun 1989 apabila termeterai Perjanjian Damai Hatyai antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada Disember 1989. Perjanjian ini membawa kepada pembubaran dan peletakan senjata PKM.

Untuk rekod, Lebuh Raya Timur Barat sepanjang 123 kilometer mula dibina 1967 dengan kos RM296 juta. Dibuka pada Julai 1982, sepanjang 61 kilometer lebuh raya dalam negeri Perak, selebihnya di Kelantan. Lebuh raya ini memendekkan hubungan darat pantai timur dan pantai barat sehingga ratusan kilometer.
Pembinaan lebuh raya mengambil masa begitu lama kerana ancaman pengganas komunis yang sering mengganggu kerja pembinaan. Ada pekerja terbunuh dan peralatan pembinaan dirosakkan. Pasukan keselamatan berkawal sepanjang masa melindungi pekerja dan memastikan pembinaan berjalan lancar.
BERITA BERKAITAN Peneroka getah Felda terima Bantuan Musim Tengkujuh, libat peruntukan RM9.4 juta
Selain itu keadaan muka bumi yang sukar, termasuk paya dan pokok-pokok besar yang terpaksa ditebang, menambah berat tugas pekerja. Peralatan pembinaan juga tidak semoden atau canggih seperti sekarang.
Setiap Aidilfitri penulis akan berkunjung ke rumah mertua ikut giliran. Jika raya pertama di kampung keluarga penulis di Sungai Haji Mohamad, Bagan Datuk, Perak, hari raya ketiga akan ke Gerik. Begitu juga jika giliran ke Gerik terlebih dahulu.
Ramai berkata kepada penulis senang balik rumah sendiri dan rumah mertua pada hari raya kerana dalam negeri yang sama. Namun mungkin mereka tidak sedar jarak antara kedua-dua lokasi tersebut jauh, satu di Hilir Perak, satu di Hulu Perak. Perak sebuah negeri yang besar, kedua terbesar di Semenanjung selepas Pahang.
Tambahan sistem perhubungan ketika itu bukan seperti sekarang. Belum ada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Perjalanan melalui jalan persekutuan yang sesak dengan kenderaan, khususnya pada musim perayaan.
Jalan ke Gerik agak sempit. Di banyak lokasi jalannya bengkang bengkok bagai ular kena palu. Apabila berselisih dengan lori, terutama lori balak, ia tidak akan mengalah. Pemandu kereta yang kena bergerak ke tepi. Pertama kali sampai ke Felda Bersia memang penulis hampir pitam!
Namun ibarat kata peribahasa Melayu, ‘Alah bisa tegal biasa’. Lama kelamaan penulis biasa dengan laluan berkenaan, baik ketika balik pada hari raya atau balik bercuti. Pemandangan sekeliling yang menghijau ketika memandu menyegarkan mata.
Sekarang jalan ke Gerik jauh lebih baik. Bermula dari tol Kuala Kangsar, laluan ke bandar tersebut seperti lebuh raya, lebih lurus dengan dua lorong. Pemanduan lebih lancar, risiko kemalangan lebih rendah. Selain itu akan cepat sampai ke detinasi.
Namun penulis jarang ke Fela Bersia setelah ayah dan ibu mertua tiada lagi. Adik beradik ipar pula semua sudah berumah tangga dan keluar meninggalkan Felda, bekerja dan bermastautin di tempat lain. Felda Bersia bagai makin jauh dari hati.

Tetapi pada Aidilfitri tahun ini, penulis dan isteri sepakat berkunjung ke sana. Bukan sahaja untuk isteri kembali ke kampung halaman, tetapi juga untuk bertemu dengan ‘Tok Ngah’ Lijah. Wanita berusia 82 tahun ini adalah teman baik dan sangat rapat dengan aruah ibu mertua. Ramai yang seangkatan dengan mereka sudah pergi menghadap Ilahi.
Kunjungan kami semata-mata untuk bertemu dengan Tok Ngah yang masih kuat dan daya ingatan baik walau dimamah usia. Beliau sangat seronok menyambut kedatangan kami, serta saling mengimbau kisah lalu. Ibu mertua sudah tiada, bertemu Tok Ngah cukup menyeronokkan.
Lama juga kami berbual dengan Tok Ngah dan anak-anaknya yang balik berhari raya. Terasa damai jiwa dalam hembusan bayu Felda yang pernah disedut selama bertahun-tahun lalu. Penulis dan isteri bergerak pulang diiringi lambaian tangan Tok Ngah serta doa semoga bertemu lagi. InsyaAllah semoga Allah makbulkan.
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

