VOL I : Uniknya perkahwinan campur, namun kenali budaya dan cara kehidupan. Jangan sampai terhenti separuh jalan

Dari Penulis

MEMILIH pasangan hidup daripada bangsa asing membuatkan perkahwinan anda antara yang unik untuk diperhatikan. Inilah yang dinamakan jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Islam pun menggalakkan umatnya memilih pasangan di luar kelompok saudara-mara. Kahwin campur merupakan dakwah praktikal paling berkesan sebab ia akan mengembangkan keturunan di kalangan bukan Islam.

Pastinya anda dan pasangan menjadi tumpuan masyarakat terutama dalam kalangan yang belum pernah menyaksikan perkahwinan insan berbeza bangsa.

Di kalangan masyarakat yang berfikiran terbuka seperti yang terdapat di bandar, pasangan suami isteri berlainan bangsa boleh diterima tanpa banyak masalah. Mereka tidak peduli siapa pasangan anda asalkan ia tidak menyusahkan hidup mereka.

Tetapi ini tidak bermakna masyarakat desa sukar menerima pasangan yang berkahwin campur. Ini disebabkan terdapat sesetengah penduduk kampung yang sememangnya terkenal dengan sifat ramah dan tinggi budi bahasa bersedia menerima pasangan unik ini.

Selain ingin menunjukkan bahawa mereka juga berfikiran terbuka dan mempunyai semangat toleransi yang tinggi terhadap orang luar, penduduk tersebut berusaha memastikan pasangan kahwin campur ini berasa selesa dan seronok menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat kampung tersebut.

Mungkin secara tidak langsung kehadiran suami isteri kahwin campur ini menyuntik kemeriahan pada kehidupan desa yang harmonis. Sifat ingin tahu mengenai budaya asing juga membuatkan mereka ingin berkenalan dengan pasangan bangsa asing tersebut. Ini membantu memudahkan proses penyesuaian diri pasangan suami isteri berkenaan dalam satu suasana yang asing.

Namun tidak dinafikan, terdapat kalangan masyarakat yang sukar menerima kehadiran bangsa asing dalam kelompok mereka. Mereka boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dan tidak selesa pada pasangan kahwin campur berkenaan. Secara tidak langsung, ia boleh memberi tekanan pada pasangan itu.

Mungkin pada awal perkahwinan, demi membuktikan cinta murni mereka, pasangan kahwin campur berkenaan mampu bertahan menempuh segala rintangan yang dijangkakan. Biasanya tentangan timbul daripada kalangan ahli keluarga kedua-dua belah pihak, rakan-rakan dan saudara mara serta jiran tetangga. Pasangan ini akan saling memberi sokongan antara satu sama lain dan dalam masa sama ia mengukuhkan lagi hubungan mereka suami isteri.

Hakikatnya, lama-kelamaan semangat sokong menyokong antara pasangan kahwin campur ini boleh luntur dalam menghadapi ombak dan badai dalam kehidupan yang mencabar ini. Sebenarnya kasih sayang yang semakin berkurangan antara pasangan ini bukan dicetuskan oleh perbezaan budaya mereka seperti tanggapan ramai orang.

Dalam perkahwinan pasangan sama bangsa pun boleh mengalami pasang surut dalam perhubungan. Kebahagiaan rumah tangga suami isteri sebenarnya banyak dipengaruhi oleh suasana sekitar termasuk sikap keluarga dan masyarakat. Maka cabaran yang timbul banyak dicetuskan oleh orang-orang di luar perkahwinan anda. Antaranya tanggapan negatif, sindiran dan cemuhan, penyisihan dan kemungkinan dibuang keluarga.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This