Sebelum meneruskan hubungan ke alam perkahwinan, ini isu penting di mana anda perlu mengadakan banyak perbincangan dari hati ke hati dengan pasangan anda mengenai pelbagai topik penting seperti:
Harapan:
Sememangnya ia amat romantik dan menyeronokkan untuk mencintai orang berbeza bangsa dengan anda. Namun jangan biarkan keghairahan cinta ini mengaburi anda daripada permasalahan besar yang timbul dalam kahwin campur.
Ada kalanya cinta tidak dapat mengatasi rintangan dalam kehidupan nyata. Setiap pasangan suami isteri harus sentiasa memupuk Kemahiran berkomunikasi agar saat-saat genting boleh diatasi dengan bijak.
Anak-anak:
Suami isteri harus berbincang bagaimana mendidik anak-anak serta membantu mereka memahami dan menghargai identiti mereka yang unik. Pastikan anda menceritakan perkara-perkara positif mengenai budaya hidup kedua-dua keluarga anda.
Semasa mereka membesar, dengarlah segala kemusykilan, tanggapan buruk dan prejudis yang bakal mereka hadapi.
Perayaan:
Semua pasangan berkahwin akan mengalami stres bila tiba musim perayaan. Inilah masa yang baik untuk membincangkan mengenai perbezaan dan persamaan budaya masing-masing meraikan hari perayaan semasa kecil agar memupuk semangat persefahaman. Berbanggalah dengan budaya tradisi masing-masing dan berusahalah meraikan perayaan secara kreatif lagi bermakna bagi anda berdua.
Fahami Diri Anda:
Sekiranya anda ingin perkahwinan anda berjaya, percayalah pada diri anda. Didikan agama adalah penting sebagai teras jati diri anda. Jika anda sendiri keliru dengan hala tuju kehidupan anda, bagaimana anda hendak berkongsi hidup dengan orang lain? Muhasabah diri agar anda lebih yakin dengan pilihan hidup yang anda impikan.
Akui Perbezaan Anda Berdua:
Bincanglah perbezaan budaya anda berdua seperti agama, adat tradisi, pemakanan, perancang keluarga, kaedah pendidikan anak, kewangan, hubungan dengan kedua-dua keluarga dan peranan masing-masing.
Pada dasarnya perbezaan bangsa dan budaya dalam perkahwinan campur tidak semestinya mengakibatkan rumah tangga berantakan. Biasanya kesilapan utama pasangan ialah ketidakupayaan suami isteri memahami perbezaan budaya mereka. Ini diburukkan lagi dengan kegagalan untuk berbincang akan tekanan dan prejudis orang lain terhadap mereka.