PENYANYI terkenal, Aina Abdul, berkongsi perasaan gementar untuk membawa karya Emas yang dinyanyikan oleh Nadeera Zaini,32, sekaligus menafikan dakwaan mengatakan lagu tersebut adalah hak miliknya.
Menurut Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, menyatakan bahawa dirinya tidak pernah mengetahui tentang dakwaan tersebut serta merasakan lagu tersebut sukar untuk dinyanyikan.
Namun begitu, Aina memberikan pujian kepada rakannya, Nadeera yang berjaya membawakan lagu tersebut dengan baik sehingga menjadi ‘trademark’ buat dirinya.
“Saya baru tahu tentang perkara ini, jika perkara ini betul, saya tidak akan berani dengan lagu itu kerana lagu itu susah.
“Nadeera telah buat dengan baik untuk lagu itu, saya rasa dia dah ada ‘trademark’. Saya rasa tidak boleh menyanyikan dengan baik berbanding dia (Nadeera),” katanya kepada URTV.
Dalam pada itu, penyanyi Jangan Mati Rasa Itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai senjata untuk melagakan kedua-dua belah pihak.
Aina menganggap tindakan tersebut tidak sihat dan dibimbangi mampu mempengaruhi perasaan negatif lalu membuatkan hubungan mereka renggang.
“Mungkin ada juga yang nak melaga-lagakan kami. Dan saya rasa tidak gembira dan tidak sihat kepada mana-mana penyanyi sekalipun.
“Mungkin kita tidak zahirkan apa yang kita rasa dan tidak cakap, tapi perkara tu ada. Ia duduk di hati kita. Jadi benda itu tidak seronok.
“Kalau kita jumpa dekat mana-mana majlis, perkara tu ada sahaja yang mengaitkan kami. Saya paling tidak suka rasa begitu,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Aina tetap berharap agar hubungan di antara mereka tidak dikeruhkan kerana dia tidak mampu mengawal orang ramai untuk terus mengkritiknya.
“Saya tahu perkara ini tidak boleh dihentikan. Saya harap perkara ini tidak mengeruhkan suasana. Sekurang-kurangnya antara saya dan Nadeera.
“Di luar saya tidak boleh kawal, jadi selagi saya ada hubungan baik dengan dia, saya baik sahaja,” katanya kepada URTV ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, Aina sempat berkongsi pengalaman Syawal pada tahun ini yang tidak menyangka beraya dikampung halaman di Bahau, Negeri Sembilan bersama peminat yang juga jirannya sendiri.
“Saya tidak sangka satu kampung dengan rumah peminat. Lalu pada pagi raya itu dekat rumah peminat.
“Lepas kita bersalaman itu kita berjumpa sebab kami berjiran,” ulasnya.
Selain itu, dia juga menyatakan bahawa sambutan raya tahun sama seperti tahun-tahun sebelumnya, di mana ibunya akan menyediakan kelengkapan raya dan dia hanya perlu membayarnya sahaja.
“Tidaklah sama sahaja macam tahun lepas, selalu mak saya akan berhempas pulas dan tentukan semua, saya sebagai anak hanya bayar sahaja,” akhirinya.

