Bila waktu terbaik niat puasa 6 syawal?

Dari Penulis

Alhamdulillah, sudah seminggu kita meraikan hari raya Aidilfitri, dan kini pasti ramai yang merancang untuk berpuasa sunat 6 hari Syawal. Besar ganjaran yang Allah sediakan untuk mereka yang menyambung 6 hari puasa di bulan Syawal antaranya sebagaimana sabda Baginda s.a.w.

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian meneruskan dengan 6 hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun” (HR Muslim)

Sememangnya ibadah puasa 6 Syawal sangat digalakkan kerana pahalanya ibarat berpuasa selama setahun dan inilah juga ujian bagi menilai ketakwaan kita kepada Allah usai berpuasa wajib selama sebulan.

Ini kerana ibadah puasa 6 Syawal hukumnya sunat, jadi terpulang sama ada kita ingin lakukan atau tidak. Jika puasa Ramadan hukumnya wajib maka mahu atau tidak memang kita wajib berpuasa, tetapi puasa 6 Syawal adalah pilihan yang bergantung pada ketakwaan dan keikhlasan kita untuk melaksanakannya.

Apalagi ujiannya begitu besar kerana di saat kita sedang berpuasa menahan lapar dan dahaga, ketika itu juga disekeliling kita disajikan dengan juadah raya terutama apabila berkunjung ke rumah terbuka.

Walaupun ramai yang merancang untuk melaksanakannya namun mungkin ramai yang keliru dan tertanya-tanya adakah niat puasa 6 Syawal ini sama seperti puasa Ramadan yang perlu dibaca sebelum sahur atau mungkin boleh dibaca selepas waktu sahur.

Menjawab persoalan ini perlu difahami dahulu hukum puasa 6 Syawal. Sebagaimana yang disebut di atas, hukum puasa 6 Syawal menurut jumhur ulama adalah sunat yang dituntut dan bukannya wajib sebagaimana puasa bulan Ramadan.

Oleh itu puasa sunat tidak disyaratkan untuk menetapkan niat puasa pada malam hari sepertimana puasa wajib. Bahkan ia diberikan kelonggaran atau keluasan waktu sehingga sebelum tergelincir matahari. Ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.ha

“Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku, “Wahai Aisyah! Adakah kamu mempunyai sesuatu (untuk dimakan)?” Aisyah menjawab, “Wahai Rasulullah! Kita tidak mempunyai apa-apa.” Lalu Baginda s.a.w. bersabda, “Maka sesungguhnya aku berpuasa” (HR Muslim)

Dari kisah yang disebutkan oleh Aisyah r.ha ini maka Imam an-Nawawi menyatakan ia menjadi dalil sahnya puasa sunat sekiranya diniatkan pada siang hari sebelum tergelincir matahari.

Syaratnya jika sepanjang hari dia tidak melakukan apa juga perkara yang boleh membatalkan puasa seperti berjimak, muntah dengan sengaja, makan dan minum atau lainnya maka dia boleh berniat puasa 6 Syawal. Dan seseorang perlu menetapkan niat tersebut secara zahir iaitu dengan membaca niat puasa sunat 6 Syawal.  

Analogi mudahnya jika dia tidak makan, minum atau melakukan perbuatan yang membatalkan puasa sepanjang hari, kemudian pada jam 4 petang dia berniat untuk puasa 6 Syawal maka sah puasanya. Dan jika dia ingin berniat pada malam harinya pun tiada masalah.

Hukum batalkan puasa

Adapun jika sedang berpuasa 6 Syawal dan kemudian ingin membatalkannya dengan sengaja, mungkin kerana menerima undangan rumah terbuka atau sebagainya maka hukumnya adalah makruh dan tidak diwajibkan untuk menggantikannya. Ini selaras dengan hadis riwayat Ummu Hani’ r.a.

“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa” Maka Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya, “Adakah kamu sedang mengqadakan sesuatu (puasa)” Beliau berkata, “Tidak” Sabda Baginda, “Maka tidak memudaratkan (memberi dosa) kepadamu sekiranya ia adalah puasa sunat” (HR Abu Daud)

Dalam riwayat yang lain dari Ummu Hani’ r.a. bahawa Baginda s.a.w. bersabda,

“Seseorang yang berpuasa sunat, jika ia mahu dia boleh teruskan berpuasa dan jika mahu dia juga boleh berbuka” (HR Tirmizi). Wallahu a’lam

______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This