puasa 6 puasa qada

Seseorang yang ingin berpuasa sunat 6 hari di dalam bulan Syawal, lebih afdalnya jika mereka dapat berpuasa secara berturutan harinya bermula pada dua Syawal. Walaubagaimanapun tetap juga dibolehkan untuk berpuasa secara selang seli selama mana di bulan Syawal. 

Apa yang disebutkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala. Bermakna, seseorang akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Kerana itu pahala mengerjakan puasa Ramadan dan sunat enam hari Syawal adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

Puasa Ganti + Puasa Enam

Dalam menjalankan tuntutan puasa sunat enam, seringkali timbul isu berkaitan boleh atau tidak digabungkan puasa ganti Ramadan, dengan puasa sunat enam. Hal ini kerap terjadi kepada wanita yang ingin menunaikan puasa sunat enam. Jika ditanya manakah yang lebih baik, sama ada digabungkan puasa ganti dengan puasa enam, atau dibuat satu persatu? Terdapat khilaf di kalangan ulama bagi menjawab permasalahan ini.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.ha mengatakan

“Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada’) dari puasa Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Syaaban.” (HR Muslim)

Tindakan saidatina Aisyah r.ha yang melewatkan puasa ganti sehingga Syaaban, menjadi hujah yang kuat oleh sebahagian ulama bahawa perlu mengasingkan kedua-dua puasa ganti dan Syawal. Pandangan mereka, sudah tentu Aisyah r.ha sebagai isteri yang paling rapat dengan Baginda tidak akan meninggalkan puasa enam.

Maka, tindakannya yang menggantikan puasa Ramadan dalam bulan Syaaban, jelas menunjukkan boleh untuk berpuasa sunat Syawal dahulu, meskipun ia belum menggantikan puasa Ramadan. Hadis ini juga memberi isyarat yang jelas bahawa Aisyah r.ha tidak menggabungkan antara puasa wajib dan puasa sunat dalam satu masa. Bahkan ia mengasingkan antara keduanya.

Walaubagaimanapun, terdapat juga hujah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Yusof al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh al-Awliyat.

Ini ada asasnya berdasarkan hadis Baginda s.a.w.

“Barangsiapa telah berpuasa Ramadan, kemudian diikuti enam hari dalam bulan Syawal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (HR Bukhari)

Kira-kiranya mudah. Prosa ayat “berpuasa Ramadan kemudian diikuti enam hari Syawal” membawa maksud yang jelas 30 hari Ramadan perlu dicukupkan dahulu, barulah ditambah enam hari untuk mencukupkan bilangan 36. Jika seseorang itu hanya mampu berpuasa selama 24 hari dalam Ramadan, dan ditambah enam hari Syawal, bilangannya hanya 30 hari sahaja. Mana mungkin mencukupi untuk 36 hari yang menyamai pahala 360 hari. Sedangkan puasa ganti adalah wajib dibayar.

Andaikata seseorang hanya mendahulukan puasa enam dahulu dan membayar ganti puasanya di bulan yang lain, ditakuti jika dia mati, maka dia telah berhutang puasa yang wajib dengan Allah. Sedangkan hutang itu wajib dibayar dan sedekah (puasa enam) pula hanyalah sunat.  

Gabung Puasa

Selain itu, sebahagian di kalangan ulama Syafie berpendapat, boleh digabungkan antara puasa ganti dengan puasa enam. Dan ganjaran puasa enam Syawal tetap diperolehi apabila seseorang hanya berniat untuk berpuasa ganti.

Namun pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding berpuasa secara berasingan.  Pendapat ini secara asasnya tidak disandarkan pada mana-mana dalil al-Quran atau as-Sunnah yang sahih.

Ianya hanya dikiaskan kepada solat tahiyyatul masjid yang tergugur dengan sendiri apabila mendirikan solat fardu. Ini kerana orang yang datang ke masjid dan terus mendirikan solat fardu akan juga tetap mendapat pahala solat sunat Tahiyyatul masjid.

Mana Yang Perlu

Dalam memenuhi tuntutan yang mana perlu diutamakan, elok sekiranya amalan tersebut dilakukan dengan adanya hujah dari dalil yang sahih. Tidak dinafikan, sememangnya ada pendapat yang menggabungkan kedua-dua puasa ini dalam satu.

Pandangan ini boleh dianggap sebagai rukhsah bagi mereka yang mempunyai keuzuran dan tidak mampu mengasingkannya. Contohnya jika seseorang yang terpaksa menggantikan puasanya selama 30 hari, sudah pasti ia tidak dapat mengejar kelebihan puasa enam Syawal dek kerana masa yang singkat berbanding ganti (sepanjang tahun)

Namun jika diteliti kembali, pendapat yang mengasingkan antara kedua puasa ini lebih kuat dan sahih. Justeru itu, elok jika amalan ini diasingkan dan mendahulukan yang wajib dari sunat jika tidak ada keuzuran.

_________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare