Tidak akan berganjak kaki setiap hamba pada hari kiamat sehinggalah ditanya tentang empat perkara, yakni umurnya ke mana dihabiskan? Masa mudanya ke mana digunakan? Ilmunya apa yang dilakukan? Hartanya dari mana diperolehi dan bagaimana ia digunakan?
Berpegang kepada peringatan Rasulluah s.a.w. itulah, menjadikan tokoh cendiakawan Islam ini cukup menghargai masa hidupnya. Bagi Profesor Dr. Sheikh Wahbah Mustafa al-Zuhayli ia merupakan antara amanah yang akan dihisab pada hari kiamat kelak. Masa yang dilalui di dunia ini akan dibuka semula di hadapan mahkamah Allah untuk dihitung segala amalan.
Tujuannya hanya satu, memperjuangkan umur, masa, harta dan ilmu hanya semata-mata untuk Islam. Dr. Zuhayli mengibaratkan masa hidup adalah ladang amal kepada Allah. Tidak pernah dirinya cuba untuk membiarkan sedetik waktu tanpa sesuatu yang tidak berfaedah.
Manakan tidak, dalam sehari Dr. Zuhayli menghabiskan masa 8 jam untuk menulis karya dan kitabnya, kadang-kadang mencecah sehingga 16 jam. Itulah realiti hidupnya. Sejauhmana kesibukan yang melanda, bukanlah alasan untuk dirinya tidak melakukan tanggungjawab itu.
Ini terbukti dengan sikap Dr. Zuhayli yang sangat menjaga disiplin dalam hidupnya terutama dari segi waktu dan peraturan. Jadi tidak mustahillah baginya, sehingga mampu mengatur masa dengan teratur untuk menulis, mengajar, beribadah dan beristirehat.
Hakikatnya Dr. Zuhayli sendiri kurang menyenangi apabila seseorang melanggar disiplin, temujanji atau sengaja melambat-lambatkan tugas. Baginya masa adalah modal untuk mencapai keredhaan Allah dan perlu dimanfaatkan sebaiknya. Ditambah dengan keberkatan waktu yang digunakan hanya semata-mata untuk ilmu Allah, terhasillah satu keajaiban.
Dr. Zuhayli menulis karya kitabnya hanya melalui penulisan tangan yakni tanpa menggunakan komputer. Ya! itulah kemampuannya. Ketebalan halaman kitab-kitab yang ditulis jelas benar-benar terpancar kesungguhan Dr. Zuhayli dalam pengembangan penulisan ilmu.
Ilmu yang dimanfaat umpama pohon yang berbuah. Siapa sangka, kegigihannya memberikan hasil yang lumayan. Dr. Zuhayli telah menulis banyak karya, buku, kertas kerja dan artikel dalam pelbagai bidang ilmu. Kini, dirinya mampu tersenyum kerana telah berjaya menghasilkan buku-buku melebihi 133 buah dan jika dicampur dengan risalah-risalah kecil melebihi 500 tajuk untuk tatapan pencari ilmu.
Begitulah rasa hati seorang ulama yang sanggup menghabiskan masa berjam-berjam untuk berkarya bagi menyampaikan ilmu bermanfaat kepada generasi demi generasi. Lebih dari 40 genarasi di Syria sebahagian berada di Libya, Sudan, dan Emiriah Arab telah berjaya menjadi anak didiknya. Malah ribuan pelajar, bahkan jutaan di Barat maupun Timur, Amerika, Malaysia, Afganistan, dan Indonesia telah mempelajari kitab Fiq, Usul Fiq, dan Tafsirnya.
Namun, dirinya tidak pernah kesal apabila masa hidupnya hanya diabdikan untuk Islam, jauh sekali merungut. Bahkan baginya cukup bernilai apa yang disampaikan itu diterima meskipun ia cuma sepotong ayat. Ternyata, gelaran Syeikh al-Islam oleh bapanya cukup tepat sekali untuk menggambarkan dirinya.
Tiga ijazah tempoh lima tahun
Tidak ada yang mustahil dalam hidupnya, berbekalkan semangat yang kental untuk menggali ilmu, dengan hanya lima tahun, Dr. Zuhayli berjaya memperolehi tiga Ijazah Sarjana Muda dalam tiga bidang pengajian iaitu jurusan Syariah Islamiah (tempat pertama keseluruhan), jurusan Bahasa Arab dari Universiti al-Azhar Syariff dan jurusan Undang-Undang dari Universiti Ain Syam.
Malah Dr. Zuhayli juga berjaya memperolehi Ijazah Sarjana dari Kuliah Undang-Undang dengan tesis yang bertajuk ‘Az-zarai’k fi Siyasah Syar’iyyah dan Feqh Islami’ dan seterusnya mendapat ijazah Phd dengan tesis yang bertajuk ‘Asarul Harb fi Fiqh Islami’.
Hakikatnya, kejayaan yang dimiliki oleh Dr. Zuhayli bukanlah diperolehi dengan sekelip mata tanpa usaha yang gigih. Dikisahkan, Dr. Zuhayli sememangnya gemar membaca dan tidak akan membiarkan waktunya tanpa membaca.
Itulah pendiriannya ketika menuntut ilmu, tika merasakan ilmu yang dipelajari masih kurang sempurna lalu saat semua pelajar dibuai mimpi, Dr. Zuhayli masih membaca ditemani lampu-lampu jalan. Jadi tidak hairanlah, kegigihan Dr. Zuhayli dalam berkelana mencari ilmu menjadikan dirinya ulama yang terkenal zaman ini.
Tidak sekadar itu, keunikan dirinya yakni mampu menghafal bait-bait syair hanya dengan sekali atau dua kali dengar sahaja. Seperti yang diperkatakan oleh Dr. Badi’ Sayyid Lahham, yang amat takjub dengan kekuatan hafalan Dr. Zuhayli. Ketika itu, Dr. Zuhayli datang ke majlis perbincangantanpa tesis bersamanya, namun percaya atau tidak, Dr. Zuhayli mengingati isi kandungan penting tesisnya, dan yang lebih mengejutkan Dr. Zuhayli mampu menghafalnya.
Apabila ditanya, Dr. Zuhayli berkata,
“Ilmuku bersamaku, ketika aku berada di rumah ilmuku juga di rumah, ketika aku di pasar, ilmuku juga di pasar, sentiasa bersamaku di mana saja aku berada”.
Itulah kelebihannya. Keistimewaan untuk merasai kemanisan ilmu menjadikan namanya sebaris dengan tokoh-tokoh tafsir dan fuqaha yang telah berjasa dalam dunia keilmuan Islam abad ke-21. Bersambung…
__________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

