KAD Nusuk terbaharu telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat bagi menjamin keselamatan pemegang kad berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah kod respon pantas (QR) pada kad tersebut.
Katanya, inisiatif itu dilakukan bagi mengelakkan sebarang cubaan pemalsuan terhadap kad pengenalan rasmi jemaah haji.
“Maknanya, kalau ada sebarang usaha untuk buat salinan, ia agak sukar sebab dilengkapi beberapa lapisan keselamatan yang telah ditambah baik oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446H/2025M hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Kad Nusuk telah membantu memudahkan jemaah haji dari seluruh dunia untuk memasuki Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah serta tempat-tempat ibadah haji lain sejak diperkenalkan tiga tahun lepas.
“Kalau katakan jemaah haji Malaysia, dia nak masuk ke Masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi, tanpa ada kad ini dia tak boleh masuk. Jadi dia kena bawa Kad Nusuk ini,” katanya.
Terdahulu, Mohd Na’im menitipkan pesanan kepada 284 jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci awal pagi ini agar sentiasa menjaga kad berkenaan sebaik mungkin kerana ia memiliki data peribadi termasuk pasport dan visa bagi membolehkan jemaah haji dikenal pasti secara mudah.
“Kad Nusuk ini kena jaga betul-betul sebab ia seperti MyKad kita. Ingat pesanan saya ini jaga kad ini macam kita jaga MyKad kita,” katanya.
Mengenai penerbangan membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci musim ini, beliau berkata, sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan bermula hari ini manakala penerbangan terakhir pada 1 Jun.
“Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia ini dijangka tiba pada 7.50 pagi esok (waktu Arab Saudi) di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah,” katanya.
Kuota rasmi haji Malaysia yang diberikan kerajaan Arab Saudi pada tahun ini sebanyak 31,600 orang dan mereka akan tiba di tanah suci secara berperingkat.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

