JURUSOLEK, Ati Harun mendedahkan wajah Syasya Rizal pada hari pernikahannya menggunakan solekan ala ‘Thailand look’.
Katanya, dia amat gembira apabila mengetahui ramai yang menyukai teknik solekan pada wajah Syasya yang memakan masa selama satu jam untuk disempurnakan.
“Syasya memang suka cara saya solek. Jika ada apa-apa majlis memang dia akan panggil saya atau cadangkan saya kepada pelanggan.
“Alhamdulillah, gembira sebab ramai yang suka ‘makeup look’ tu.
“Selalunya mekap Syasya tidak sampai satu jam pun,” ujarnya ketika dihubungi URTV.
Ati yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang solekan, akui terkejut selepas diminta untuk menata rias wajah Syasya di majlis pernikahannya.
“Macam terkejut juga, sebab masa tu kumpulan Dolla tengah naik dan keputusan yang sangat besar Syasyaå buat untuk berkahwin.
“Saya doakan yang terbaik untuk mereka berdua, kekal hingga ke jannah serta dimurahkan rezeki,” katanya.
Syasya kini sah bergelar isteri kepada lelaki pilihannya pada Sabtu lalu.
Malah, majlis itu juga sebagai menjawab spekulasi punca pengunduran dirinya daripada kumpulan Dolla.
Pada masa sama, menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Universal Music Malaysia kepada media semalam, pihaknya mengesahkan faktor pengunduran pemilik nama penuh Norsyasya Afiqah Sharizal,23, itu adalah disebabkan perancangan untuk mendirikan rumah tangga.

