JOHAN Raja Lawak meluahkan rasa syukur selepas selamat tiba di Tanah Suci semalam meskipun hampir terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur gara-gara kekeliruan nama pada visa miliknya.
Johan, 39, ketika ditemui URTV di Makkah menceritakan situasi itu berlaku apabila nama penuhnya tidak tercetak pada visa miliknya.
Bagaimanapun, dirinya tetap tenang berhadapan dengan masalah tersebut dan beranggapan ia sebagai satu ujian buat dirinya sebelum berlepas ke Makkah.
“Visa kalau dekat e-mel memang nama penuh tapi bila kita ‘print’, keluar nama belakang sahaja, nama dia tak keluar.
“Alhamdulillah, selepas lebih sejam berurusan dengan pihak penerbangan, isu itu dapat diselesaikan,” katanya.
Jelas Johan, sebelum berlepas ke Tanah Suci Makkah, dia terlebih dahulu bertemu dengan ahli keluarga sehingga menjadi faktor situasi kelam-kabut berkenaan berlaku.
Bagaimanapun, disebalik kekusutan itu, dia tetap merasakan dirinya sangat bertuah disebabkan ramai yang ingin menghulurkan bantuan.
“Kerajaan Arab Saudi turut sama membantu.
“Memang ramai nak tolong saya…ada tiga buah agensi nak tolong saya. Alhamdulillah, ramai di sekeliling semua nak tolong,” katanya lagi.
Johan dan isteri, Ozlynn antara 13 pengamal media dijemput oleh Kementerian Media Arab Saudi bagi mengerjakan rukun Islam kelima, musim haji tahun 1445H.
Mereka telah berangkat pada 7 Jun lalu, pada jam 5.30 petang dan selamat tiba di Makah pada awal pagi keesokan hari.

