
KETIKA di sekolah rendah pada tahun 60-an dahulu, cikgu sering bertanya apabila besar hendak jadi apa? Dalam kad laporan diri perlu mengisi satu ruangan mengenai cita-cita. Yang penulis ingat memberitahu cikgu dua pilihan, doktor dan peguam.
Entah dari mana datang ilham memilih kerjaya peguam dan doktor pun tidak penulis ketahui. Bukan faham sangat pun kedua-dua profesion tersebut. Cuma tahu doktor merawat orang sakit dan peguam membela orang di mahkamah.
Mungkin juga kerana penulis kerap membaca berita mengenai peguam dan doktor dalam surat khabar. Nampak menarik dan popular kerjaya tersebut. Masa itu belum tahu kerjaya lain seperti jurutera, akauntan, arkitek, juru ukur bahan dan lain-lain.
Ada juga kawan-kawan yang bercita-cita jadi polis atau tentera. Barangkali ada kaum keluarga atau saudara mara yang jawatan beruniform. Tetapi tidak ramai hendak jadi guru. Kelakar bila cikgu bertanya, “Tak ada siapa hendak jadi cikgu ke?”
Cikgu senyum sambil menulis cita-cita setiap murid dalam kad laporan. Dia memberitahu, apa juga cita-cita yang membawa kejayaan dalam hidup serta menjadikan kami manusia yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara, semuanya adalah baik.
Nasihat beliau, jika sudah menyimpan cita-cita berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Jangan sekadar berangan-angan mahu jadi itu dan ini tetapi malas belajar, malas berusaha serta tidak komited. Akhirnya cita-cita tinggal angan-angan kosong.
Pesanan guru kelas Darjah Enam ini sentiasa tersemat di hati penulis sebagai pendorong untuk mencapai kejayaan. Namun masa hadapan kita hanya Allah yang tahu. Apa juga yang dicitakan tidak akan tercapai tanpa izin Allah.
Sesungguhya laluan hidup kita telah Allah tentukan sejak sebelum lahir. Kita hanya boleh berusaha dan berikhtiar untuk menggapai apa yang kita mahu. Namun akhirnya semua terpulang kepada ketentuan Allah. Perancangan Allah adalah yang terbaik. Allah Maha Mengetahui.
Begitu juga dengan penulis. Walau pun bercita-cita jadi doktor atau peguam, ia tidak jadi kenyataan. Penulis menempuh kerjaya yang tidak pernah terfikir sewaktu bersekolah, tetapi hanya terdetik apabila memasuki institusi pengajian tinggi dengan memilih bidang kewartawanan.
Namun penulis tidak kecewa hajat menjadi doktor atau peguam tidak kesampaian. Allah menentukan kerjaya lain untuk penulis. Teringat kembali kata-kata cikgu bahawa apa juga kerjaya yang bermanfaaat untuk diri, keluarga dan masyarakat adalah kerjaya yang baik.
Kata-kata cikgu ini begitu mendamaikan jiwa apabila dikenang kembali. Ia menjadi penyuntik semangat serta memberi kekuatan bahawa apa juga laluan yang dilalui adalah kurniaan Allah. Bersyukur dan bangga dengan pemberianNya serta berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan.
Tidak penulis pasti samaada kawan-kawan sekelas dahulu berjaya mencapai apa yang dicita-citakan. Setelah tamat sekolah rendah dan memasuki sekolah menengah, tidak banyak kesempatan untuk bersama seperti waktu sama-sama belajar di sekolah rendah.
Yang pasti, ada yang berjaya mencapai cita-cita menjadi anggota tentera. Jelas Allah melorongkan rezeki ke arah laluan yang dikehendaki. Tumpang bangga juga ada kawan yang segak beruniform. Sekali sekala berjumpa, memang tak lepas mengimbau kisah cita-cita waktu di sekolah.
Namun ada juga kawan yang berhenti belajar setelah habis Darjah Enam, tidak masuk sekolah menengah. Kebanyakannya perempuan. Barangkali ibu bapa pada tahun 60-an itu masih ada yang beranggapan anak perempuan tidak perlu belajar tinggi, cukup sekadar ada pelajaran asas. Selebihnya tolong emak di rumah.
Bagi kawan-kawan yang bersekolah menengah, ada yang sangkut pada halangan pertama iaitu gagal dalam peperiksaan Tingkatan Tiga, iaitu Sijil Rendah Pelajaran (SRP) bagi aliran Melayu atau Lower Certificate of Education (LCE) bagi aliran Inggeris.
Pelajar yang gagal dalam peperiksaan tersebut ketika itu tidak boleh naik ke tingkatan empat. Ada yang berpeluang mengulang tingkatan tiga jika tidak lebih had umur. Yang lain pandai-pandalilah mencari haluan sendiri, menetap dan kerja kampung atau berhijrah ke tempat lain mencuba nasib.
Peperiksaan SRP dan LCE bagi penulis ibarat ‘penapis’ pelajar ke peringkat lebih tinggi sebelum diuji sekali lagi melalui peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Malaysian Certificate of Education (MCE) apabila berada di tingkatan lima.
Keadaan sekarang berbeza, tiada lagi saringan awal. Pelajar yang memasuki sekolah menengah belajar terus dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Bezanya kedudukan dalam kelas bergantung kepada kecemerlangan akademik masing-masing.
Dari satu segi bagus untuk membuka ruang pendidikan lebih luas kepada semua pelajar. Namun yang kurang menyeronokkan, tanpa saringan menyebabkan pelajar yang kurang berminat belajar dan prestasi pelajaran tidak memuaskan, turut naik tingkatan. Dibimbangi pelajar seperti ini ke sekolah hanya kerana terpaksa, misalnya atas desakan ibu bapa.
Penulis bangga kerana ada di antara kawan sekolah dahulu walau pun tidak menyerlah dalam akademik tetapi berjaya dalam bidang kerja lain, seperti berniaga. Mereka adalah kelompok yang berazam memperbaiki diri dan kehidupan. Pokoknya berpeganglah kepada kata-kata hikmat ‘rajin dan usaha tangga kejayaan’.
Mereka mungkin tidak mencapai cita-cita seperti apa yang ditulis dalam kad laporan diri sewaktu bersekolah dahulu. Tetapi percayalah, satu pintu tertutup, Allah membuka lebih banyak pintu yang lain. Itulah ketentuan Allah asal sabar dan berusaha mencarinya. Rezeki Allah maha luas dan dan ada di mana-mana!

