WALAUPUN berjaya menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) selama tiga penggal sejak 2013, namun ia bukanlah tiket untuk Pakatan Harapan (PH) berasa selesa.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata PH akan bekerja keras dengan mengambil pendekatan bertemu seramai mungkin pengundi bagi memastikan kerusi berkenaan dapat dipertahankan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) KKB, 11 Mei ini.
“Ini baru hari keempat kempen dan kita faham bahawa untuk sesuatu PRK (itu) kadar (keluar) mengundi rendah. Jadi saya rasa itu merupakan (antara) cabaran kami.
“Jadi bagi kami, kami akan berkempen sampai saat terakhir…kita akan bekerja keras dalam kempen ini kerana saya rasa kempen ini adalah penting bukan sahaja untuk DAP, PH tetapi ia juga (penting) untuk kerajaan negeri Selangor,” katanya, hari ini.
Teo yang juga Ketua Wanita DAP berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan tinjauan mesra di sekitar Pasar Awam KKB bersama calon PH, Pang Sock Tao, di Kuala Kubu Bharu.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata setakat ini penerimaan penduduk di KKB serta tinjauan di media sosial terhadap Pang adalah baik, dan beliau harap tempoh kempen yang berbaki 10 hari lagi dimanfaatkan sepenuhnya semua pihak dengan kempen yang matang dan sihat.
Baca artikel lain: PRK KKB: Terbukti pendidikan rendah, menengah calon PH bukan di sekolah kebangsaan, kata Ahmad Fadhli
Mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan pemimpin PH sebagai ‘mudah melenting’, Ahli Parlimen Kulai itu berkata ia mempamerkan kenyataan tidak matang Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
“Saya rasa itu kenyataan yang cukup tidak matang. Apabila ada orang yang serang (semula) kenyataan mereka, mereka rasa orang lain cepat emosi. Jadi saya rasa tak perlulah label orang lain seperti itu,” katanya.
PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
–BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

