PERATUSAN keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) mencecah 50.87 peratus setakat pukul 3 petang tadi.
Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kemas kini terbaharu peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN KKB yang dimuat naik dalam media sosial.
Tepat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran bagi PRK DUN KKB dibuka serentak.
Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka sehingga 6 petang kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, akan ditutup pada 2 petang.
Penjumlahan undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom dilaporkan berkata, keputusan bagi pilihan raya itu akan diketahui seawal pukul 9 malam ini.
Beliau turut meluahkan keyakinan proses penjumlahan undi akan berjalan lancar, sekali gus membolehkan keputusan dapat diketahui dengan lebih cepat selain menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK berkenaan sekitar 60 peratus.
Baca artikel lain: PRK KKB: Tiada laporan 3R diterima sepanjang kempen
Perjalanan proses pengundian dikendalikan 760 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain 1,133 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada hari mengundi.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Kesemua calon bagaimanapun tidak turun mengundi kerana merupakan pengundi luar.
Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti 4,119 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

