“KITA semua adalah pekerja, setiap daripada kita mempunyai peranan tersendiri dalam membangun dan memakmurkan negara ini.”
Itu pesanan Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi perkongsian di media sosial sempena meraikan Hari Pekerja 2024 hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pekerja merupakan tiang utama kemajuan sesebuah negara.
Menurut Ahmad Zahid, semua pihak perlu menghargai segala usaha para pekerja yang telah membentuk masa depan Malaysia yang lebih baik.
“Setiap tahun pada tanggal 1 Mei, Malaysia dan seluruh dunia akan meraikan Hari Pekerja. Sambutan ini bagi meraikan semangat, kerja keras, dedikasi dan sumbangan tak ternilai oleh setiap pekerja di seluruh negara.
“Walau apa jua sektor yang diceburi, sama ada di pejabat, kilang, ladang, perkhidmatan masyarakat atau di mana-mana sahaja, jika kita memberikan komitmen dan berusaha menjadi yang terbaik dalam bidang pekerjaan masing-masing, saya yakin negara ini akan terus bergerak maju menuju masa hadapan yang lebih cerah.
“Selamat Hari Pekerja kepada semua! Terima kasih di atas ketabahan dan kesetiaan anda untuk kemakmuran negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.
Baca juga: 1 MEI HARI BURUH : Cuti hari pekerja cetusan daripada peristiwa berdarah
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata, kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi, luahan, aduan dan cadangan pekerja di Malaysia untuk apa juga langkah penambahbaikan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan akan terus komited untuk meneliti dasar bagi membantu pekerja yang banyak menyumbang kepada negara.
Ini, katanya, menunjukkan kerajaan memahami keluhan masyarakat berhubung kadar pendapatan, termasuklah had gaji minimum, jaminan pekerjaan dan penelitian Akta Kerja 1955 bagi penyesuaian semasa, perlindungan sosial dan sebagainya.
“Saya juga menyeru semua pekerja agar sentiasa meningkatkan prestasi, ikhlas melaksanakan tugas kerana pekerjaan juga sebahagian daripada ibadah, seterusnya berikanlah yang sehabis baik untuk keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
“Marilah kita semua terus istiqamah, bersungguh-sungguh dan sabar dalam menunaikan setiap tanggungjawab yang telah diamanahkah,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Pekerja hari ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

