Faham akan keadaan ekonomi yang kian meruncing, Kek Malaya melancarkan inisiatif menawarkan kek pada yang berpatutan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan. Malah sempena sambutan Hari Ibu pada 9 Mei nanti, Gerbang Malaya meraikannya dengan memberi sumbangan sebiji kek kepada 200 orang ibu tunggal.
Menurut Pengarah Urusan Gerbang Malaya Sdn. Bhd. (Gerbang Malaya), Mior Ashraf Norul Basha, tanggungjawab sosial yang dilakukan ini diharap dapat memberi sedikit kegembiraan kepada golongan ibu yang kurang bernasib baik.
“Sebanyak 200 kek diagihkan kepada ibu tunggal sempena sambutan Hari Ibu, malah kami turut melakukan jualan amal kek viral pada harga RM15 dan hasil jualannya akan disalurkan kepada rumah anak yatim berdekatan.
“Kami sangat gembira dapat berkongsi sedikit rezeki dengan ibu tunggal, malah ada segelintir yang mengalirkan air mata kerana pertama kali diraikan sempena Hari Ibu,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Mior turut menyatakan menjadi hasratnya untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan agar dapat turut sama meraikan hari istimewa bersama keluarga dengan tawaran harga kek yang rendah.
“Kami sedar ramai daripada mereka yang berpendapatan rendah tidak mampu membeli hatta walau sebiji kek untuk meraikan hari Istimewa. Oleh itu, kami mengambil inisiatif dengan menjual sebiji kek pada harga RM25 dan berharap agar ia memberi manfaat buat institusi keluarga.
“Alhamdulillah ia masih mampu menjana keuntungan setakat ini, cuma ia akan membantu kami untuk terus kekal bertahan andai orang ramai terus memberi sokongan,” tambahnya lagi.
Kek Malaya turut menetapkan untuk membuka 10 cawangan menjelang tahun 2026 walaupun sedar keadaan ekonomi sangat mencabar dengan kuasa membeli semakin berkurangan.
“Kami sudah hampir lima tahun dalam pasaran dan sehingga kini kami mempunyai empat cawangan Ole-Ole Mall, Shah Alam, Taman Alam Megah, Shah Alam, Taman Pertama, Cheras dan Subang Perdana.
“Sasaran kami untuk membuka 10 cawangan di sekitar Lembah Klang dalam masa dua tahun. Untuk empat cawangan sedia ada, kami menetapkan sasaran jualan sebanyak RM6 juta walaupun sedar keadaan ekonomi tahun ini agak mencabar,” ulasnya.

