Mahu lari daripada kebiasaan dalam mempromosi produk kecantikan, usahawan terkemuka Wawa Cosmetics, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel memilih pendekatan menggunakan selebriti untuk kempen promosi kerana percaya impak yang diberikan lebih meluas.
Jelas Aeril, walaupun mengakui pempengaruh kini menjadi pilihan majoriti jenama produk, namun dia sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa artis memberikan ‘mileage’ yang lebih besar kepada kempen produk.
“Antara selebriti dan pempengaruh, saya melihat impak yang diberikan oleh artis lebih besar dan berkesan. Malah apabila menggunakan artis sebagai wajah kempen, ‘look’ promosi lebih ekslusif dan berbeza.
“Walaupun dunia hiburan kini dibanjiri dengan kedatangan influencer, namun impak artis punya keistimewaan tersendiri,” jelasnya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Wawa Cosmetics di Bangi, pada Jumaat.
Tidak mengenepikan peranan pempengaruh, namun jelasnya, tawaran yang diberikan kepada pempengaruh tular lebih kepada bersifat berkongsi rezeki.
“Sebagai pemilik bisnes, kami juga sentiasa mengikuti perkembangan terkini namun tidak akan mengambil kesempatan atas isu semasa untuk menaikkan jenama produk. Saya lebih melihat kepada kesukaran yang dilalui mereka dan memilih untuk membantu dengan berkongsi rezeki,” jelasnya lagi.

Sementara itu, berkongsi mengenai kemeriahan rumah tebuka yang dianjurkan, Wawa menjelaskan acara tahunan itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada kenalan, rakan niaga, selebriti dan pekerja Wawa Cosmetics.
“Ini tahun ketiga kami anjurkan di HQ dan kalau nak diikutkan kos untuk majlis hari ini sekitar RM60,000.
“Alhamdulillah kami syukur bila setiap tahun ramai yang sudi hadir melebihi apa yang kita jangka. Memang berniat untuk meraikan semua orang,” katanya.

