SELEPAS dua pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim jadi mangsa serangan individu tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan kecederaan, kali ini seorang lagi pemain Harimau Malaya menjadi mangsa iaitu Safiq Rahim.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan itu dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Sri Gelam, Johor Bahru malam tadi.
Kejadian tersebut dikongsikan oleh pemain JDT tersebut menerusi akaun media sosial Instagram miliknya dan memaklumkan telah membuat laporan polis mengenai kejadi itu selepas risau dengan keselamatan dirinya.
Sebelum ini, pemain JDT yang dipinjamkan ke Terengganu, Akhyar Rashid telah diserang dan disamun sebaik sahaja turun dari kenderaannya, manakala pemain Selangor FC, Faisal Halim telah disimbah dengan asid sehingga menyebabkan beliau mengalami kecederaan teruk.
Safiq turut memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan itu di laman IGnya.
Menerusi laporan polis dimuatnaik di akaun Instagramnya, Safiq melaporkan beliau ketika itu sedang memandu ke arah Pantai Lido, selepas mengambil barangnya di pusat latihan berkenaan kira-kira jam 10.05 malam.
“Ketika sedang memandu, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dibonceng dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta saya.
“Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya.
“Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan,” katanya dalam laporan berkenaan.
Dalam pada itu, polis sedang giat mengesan suspek yang memecahkan cermin kereta pemain bola sepak terkenal tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Polis sedang mengesan dan menangkap saspek terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan ringkas tengah malam ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

