CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut menaruh keyakinan peratusan keluar mengundi kali ini lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Memetik laporan BH Online, Khairul Azhari berharap peratusan keluar mengundi itu melepasi jumlah sekitar 67 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, tahun lalu.
“Ya, itu yang kita harapkan. Harus ada peningkatan sedikit berbanding sekitar 67 peratus pada PRN tahun lalu.
“Kita harapkan peratusan mengundi lebih besar kali ini,” katanya.
Beliau yang juga pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor berkata demikian selepas meninjau Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, hari ini.
Baca artikel lain: PRK KKB: 9.72 peratus keluar mengundi setakat 9 pagi
Beliau yang diiringi empat pengiring tiba di pusat pengundian itu kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Khairul Azhari; Pang Sock Tao (Pakatan Harapan); Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Kesemua calon bagaimanapun tidak turun mengundi kerana merupakan pengundi luar.
Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti 4,119 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

