SEKOLAH-SEKOLAH menengah di Sarawak akan mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris kepada pelajar di negeri itu secara berperingkat mulai 2026.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri , Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, perkara itu telah dipersetujui Kementerian Pendidikan (KPM), dengan pekeliling sedang dirangka.
Sagah berkata, bahasa Inggeris akan menjadi pengantar bagi mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan Fizik.
Ini pertama kali akan terpakai bagi pelajar Tingkatan 1 pada 2026, yang juga akan menamatkan pengajian sekolah rendah dalam bahasa Inggeris, kata memetik laporan FMT.
“Berpandukan Jabatan Peguam Negara Sarawak, kementerian saya dan KPM sedang dalam proses memformalkan perkara yang telah dipersetujui ini menjadi pekeliling dan peraturan bagi memastikan pematuhan dan kesinambungannya pada masa akan datang,” katanya pada sidang DUN hari ini.
Menteri itu juga berkata, murid Tahun 6 di Sarawak perlu menjalani pentaksiran bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains mulai 2025, dan pelajar Tingkatan 3 perlu menjalani penilaian serupa mulai 2028.
Ini bagi menggantikan peperiksaan UPSR dan PT3 yang dimansuhkan oleh Putrajaya, masing-masing pada 2021 dan 2022.
Mewajarkan pengenalan semula pentaksiran Tahun 6 dan Tingkatan 3, Sagah berkata, keputusan memansuhkan peperiksaan utama “tidak berkesan dalam keadaan kita buat masa ini”.
“Saya, dan ramai dalam kalangan kita di sini, telah melalui beberapa siri penilaian dan peperiksaan standard yang mantap pada zaman persekolahan,” katanya.
“Ia berfungsi dengan baik dan, mungkin, apabila tiba masanya, dengan pencapaian yang besar dalam kemajuan, seperti peluang kemajuan profesional yang mencukupi untuk guru, pentaksiran berasaskan sekolah akan dilaksanakan semula.”
Beliau berkata, kementeriannya sedang memuktamadkan perbincangan dengan penyedia penilaian bertauliah antarabangsa.
Beliau turut memberi jaminan bahawa peperiksaan ini tidak akan membebankan pelajar, guru mahupun ibu bapa.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

