Amanah arwah suami buat Rosnah Wagino terus cekal, optimis jadi teraju utama Juara Travel & Tours

Dari Penulis

Biarpun perit menerima berita pemergian suami yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19, namun bagi Pengarah Urusan. Juara Travel & Tours Sdn Bhd., Rosnah Wagino, apa yang penting ketika itu adalah amanah yang ditinggalkan suami kepada dirinya.

Dalam tempoh masih beriddah, Rosnah terpaksa menguruskan 4000 jemaah umrah yang terkandas akibat penularan Covid-19 pada tahun 2021.

“Sewaktu arwah suami sedang dirawat di hospital, dia berikan khabar baik dengan mengatakan bakal keluar tidak lama lagi. Namun sudah ajal, biarpun tiada lagi jangkitan Covid, disebabkan dia menghadapi masalah kesihatan yang lain, tahap kesihatannya semakin merosot dan terpaksa ditidurkan sehinggalah kami menerima berita pemergiannya pada Julai 2021.

“Apa yang paling perit saya rasakan ketika itu ialah amanah yang ditinggalkan iaitu saya kena terbangkan 4000 jemaah umrah yang terkandas sejak 2020, lebih-lebih lagi dalam tempoh iddah.

“Ini tanggungjawab yang cukup besar wajib dilaksanakan dan syukur semuanya berjaya diterbangkan dalam masa yang ditetapkan,” katanya kepada Wanita.

Anak kelahiran Felda Jengka 1 ini juga mengakui pandemik turut menguji perniagaan agensi pelancongan yang diusahakan bersama arwah suami apabila terpaksa mengurangkan kos dengan menamatkan perkhidmatan pekerja syarikat.

“Pada waktu itu, seluruh dunia terjejas dan tiada penerbangan dibenarkan, jadi perniagaan kami turut terkesan. Perit bagi saya apabila terpaksa membuang pekerja bagi menjimatkan kos dan cuba bertahan. Daripada 130 orang pekerja, kami kurangkan sehingga menjadi 40 orang sahaja.

“Pada waktu itu juga kami terpaksa menjual pes nasi arab supaya syarikat terus bertahan dan tidak gulung tikar,” kongsinya lagi.

Mengimbau kembali detik perjalanan Juara Travel & Tours, jelas Rosnah, kehebatan arwah suami dalam mempromosi perniagaan membuatkan mereka pantas berkembang dan menjadi salah satu agensi umrah dipercayai di Malaysia.

“Saya dan arwah suami mengambil alih perniagaan ini dari rakan pada tahun 2001 dengan mengusahakan kereta sewa. Dan pada tahun 2007 baru kami memulakan agensi pelancongan Juara Travel & Tours. Saya berhenti kerja dan membantu suami dalam pengurusan pada tahun 2009. Kami mula berkembang menjadi agensi umrah yang dipercayai pada 2013 sehinggalah kami mendapat lesen Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji ( PJH ) dari Tabung Haji pada 2018 untuk pengurusan jemaah haji sehinggalah ke hari ini.

“Apa yang boleh saya katakan, suami hebat ‘menjual’ perkhidmatan. Malah Juara juga berjaya membina reputasi dengan memberikan servis cemerlang kepada jemaah,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Rosnah turut berkongsi keterujaan menerusi Kursus Haji Perdana 1445H anjuran Juara Travel & Tours di mana ia merupakan kursus pertama yang diadakan selama dua hari dan kursus simulasi ini dijalankan bagi memberi pemahaman lebih mendalam buat jemaah haji.

“Pada tahun ini kami menjalankan kursus simulasi haji di Port Dickson dan setiap aktiviti yang dilakukan memberi gambaran sebenar ketika melakukan ibadah haji.

“Malah perancangan kami untuk melaksanakan kursus haji jelajah satu Malaysia sesuai dengan cawangan yang kami ada.

“Untuk tahun ini, kami bakal menghantar 220 jemaah haji,” tambahnya lagi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This