PERSEMBAHAN sulung Istana Budaya tahun 2024 kekal mengagumkan di Dewan Filharmonik Petronas walaupun pentas Panggung Sari Istana Budaya ditutup untuk sementara waktu.
Persembahan klasikal barat Lambang Sari Series: Resilience & Triumph yang dipentaskan oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) telah berlangsung dengan jayanya.
Menurut Konduktor Orkestra Simfoni Kebangsaan, Nasran Nawi berkata, sudah menjadi cita-cita setiap ahli muzik untuk mempersembahkan karya mereka di Dewan Filharmonik Petronas.
Selain itu, dia merasakan pementasan ini juga dapat memberi peluang untuk memperluaskan lagi pengaruh karya seni simfoni Istana Budaya kepada khalayak.

“Dewan Filharmonik Petronas ini sememangnya menjadi salah satu impian setiap ahli muzik untuk membuat persembahan di sini.
“Menerusi Kempen Gerak ini, OSK berpeluang untuk mengembangkan lagi karya seni simfoni IB di mata masyarakat dan dapat ketengahkan jenama Orkestra Simfoni Kebangsaan dengan lebih luas lagi,” ujarnya kepada URTV.
Persembahan tersebut telah berlangsung di dewan penuh berprestij itu pada Sabtu lalu.
Dalam masa sama, komposisi lagu yang dipentaskan juga melibatkan karya-karya terkenal oleh komposer Barat seperti Hector Berlioz (Roman Carnival Overture, Op. 9), Maurice Ravel (Piano Concerto for the Left Hand in D Major, M. 82), dan Jean Sibelius (Symphony No. 2 in D Major, Op. 43).

Di samping itu, pemilihan ketiga-tiga lagu ini turut menggambarkan tema ketahanan dan kejayaan menerusi gubahan muzik oleh Hector Berlioz bagi memberi impak suasana kemeriahan, seolah-olah membawa kepada suasana pesta di sebuah karnival di Rom.
Malah, dia turut menggunakan peralatan muzik brass untuk memberikan kesan dramatik sehingga memukau penonton yang menjadikannya pilihan yang sesuai sebagai lagu pembukaan pentas.
Manakala, gubahan muzik oleh Maurice Ravel merupakan persembahan utama dengan menampilkan pemain solo piano Muzaffar Abdullah. Lagu Piano Concerto for the Left Hand asalnya ditulis oleh Paul Wittgenstein yang kehilangan tangan kanannya semasa Perang Dunia Pertama.
Oleh itu, gubahan yang rumit oleh Ravel ini menampilkan Muzaffar mampu menonjolkan ketahanan dan kejayaan dalam memainkan piano hanya menggunakan tangan kirinya.

Dengan itu, konsertin i mencapai kemuncak finale dengan gabungan pemain solo piano dan seluruh pemuzik orkestra seramai 78 orang, yang memancarkan semangat ketabahan seorang insan sebagaimana yang telah dipersembahkan pada abad ke-20.
Dalam pada itu, gubahan muzik Jean Sibelius pula menggambarkan riwayat kehidupannya di Finland, bermula dengan kerancakan melodi, seterusnya menampilkan rasa sayu dan mendamaikan seolah-olah membawa kepada sebuah pemikiran yang mendalam.
Difahamkan pemilihan lagu tersebut sebagai penutup kerana muziknya sekali lagi membawa suasana riang ceria bagaikan meraih kejayaan mengharungi dugaan, serta menyuntik elemen lagu rakyat yang mengingatkan kepada perayaan di Finland.

Untuk rekod, Lambang Sari Series (LSS): Resilience and Triumph merupakan siri pertama daripada OSK dan LSS, di mana siri yang seterusnya akan dihebahkan melalui portal serta platform media sosial Istana Budaya.


