PELAKON Zahida Rafik meluahkan rasa rindu untuk muncul di kaca televisyen selepas 10 tahun berehat dari dunia lakonan.
Ujar Zahida atau nama lengkapnya Zahida Mohamed Rafik, 49, walaupun sentiasa mendapat tawaran untuk berlakon, dirinya tidak mampu memberi komitmen kerana kesibukan yang dihadapinya.
“Kalau diikutkan saya dah lama pencen. Tapi tawaran berlakon sentiasa ada. Kadang-kadang rindu nak berlakon datang saya pula yang sibuk.
“Saya suka melancong dan menikmati alam semula jadi. Bila ada tawaran, saya pula tak boleh nak bagi komitmen sebab tak ada masa.
“Bila saya ada masa panjang tiada pula orang bagi tawaran berlakon. Jadi macam itulah,” katanya dalam majlis bacaan yasin dan pelancaran Tabung Bersamamu Rafah 2024 di Petaling Jaya pada malam Sabtu.
Dalam masa sama, Zahida turut memberitahu bahawa dirinya lebih selesa untuk membuat ‘come back’ dengan tawaran lakonan berdurasi pendek kerana sudah lama tidak berlakon.
“Bila tengok kawan-kawan berlakon perasaan rindu itu masih ada. Tapi selepas lama tak berlakon, saya takut nak ambil naskhah yang episodnya panjang.
“Saya lebih selesa memilih yang pendek bila nak buat ‘come back’ nanti,” ulasnya.
Di samping itu, dia turut meluahkan hasratnya untuk melakonkan watak yang lebih mencabar dan lasak sekiranya diberi pilihan.
Malah berkongsi pengalamannya berlakon dahulu, di mana memiliki persaingan hebat namun tetap teruja dengan naskhah yang dihasilkan oleh pihak penerbit dengan penuh makna dan menarik.
“Kalau zaman saya berlakon dulu, semua pengarah yang ada semua ternama dan tak ramai macam sekarang. Dulu terhad tapi semua naskhah yang dihasilkan semua menarik.
“Bila mereka beri tawaran kita jadi teruja untuk berlakon. Baru-baru ini, saya dapat tawaran episod panjang tapi kawan saya ganti. Tawaran itu daripada David Teo. Mengenai tawaran filem pula belum ada,” akhirinya.

