ISTERI kepada Allahyarham Nabil Mentor, 37, iaitu Adelia Citra Hapsari, 36, hilang tempat bergantung selepas pemergian arwah suaminya dipercayai akibat serangan jantung, pagi tadi.
Adelia berkata, dia tidak tahu bagaimana hendak menguruskan keluarga seorang diri tanpa arwah yang dianggap sebagai suami sempurna daripada pelbagai sudut pandangan matanya.
“Arwah adalah suami sempurna buat saya. Dia seorang penyabar dan menjaga saya dengan baik. Saya terlalu bergantung hidup kepada arwah.
“Sebab segala-galanya memang arwah uruskan. Apa sahaja urusan termasuk soal anak-anak, arwah banyak membantu, tapi sekarang saya tak tahu nak buat apa.
“Jika diikutkan ketika sambutan ulang tahun saya tempoh hari, arwah rancang nak bawa saya dan anak-anak pergi melancong ke Jepun,” katanya memetik laporan BH Online.
Bercerita kejadian sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, Adelia berkata, dia melihat keadaan suaminya agak berbeza selepas keluar daripada bilik air untuk menunaikan solat Subuh.
“Selesai ambil wuduk dalam bilik air, saya keluar dan tengok arwah sudah mengalami kekejangan. Mulanya, saya ingat arwah ‘main-main’ dengan anak.
“Tapi, bila tengok keadaan arwah tak seperti biasa saya mula panik dan lakukan teknik bantuan asas hayat (CPR) pada arwah.
“Kemudiannya, saya terus hubungi talian 999 sebelum ambulans sampai kira-kira 30 minit kemudian untuk berikan bantuan awal,” katanya.
Justeru, Adelia berkata, dia sedang menanti keputusan daripada unit forensik mengenai punca kematian suaminya.
“Disebabkan itu, unit forensik sedang buat bedah siasat sebab arwah dikategorikan meninggal dunia secara mengejut.
“Doktor cakap berkemungkinan punca kematian disebabkan jantung, tapi belum dapat dipastikan, tunggu keputusan bedah siasat.
“Doakan saya sekeluarga dan saya minta maaf sekiranya arwah ada buat kesalahan,” katanya.
Jenazah naib juara program realiti, Mentor musim pertama itu akan dibawa dan diuruskan di Masjid Ukay Perdana, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran, petang ini.
SUMBER: BERITA HARIAN

