Julung Kali Melly Goeslaw Sarung Busana Pereka Fesyen Malaysia, Ezuwan Ismail Syukur Bangga Cipta Busana Eksklusif RM130,000
PEREKA fesyen popular, Ezuwan Ismail berkongsi perasaan terharu dan gembira apabila diberi peluang untuk mereka busana penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw sempena Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil malam tadi.
Menganggap ia adalah apresiasi terbesar sepanjang bergelar pereka fesyen, Ezuwan,42,berkata, semuanya bermula selepas penyanyi Gantung itu melihat pakaian rekaanya yang digayakan oleh penyanyi Aina Abdul.

“Melly sudah melihat busana Ezuwan Ismail Kuala Lumpur yang dipakai oleh penyanyi, Aina Abdul ketika membuat persembahan di sebuah majlis anugerah pada Februari lalu.
“Kebetulan ketika itu dia disolek oleh jurusolek Epie Termerloh yang bertanya sama ada dia berminat untuk cuba guna khidmat pereka tempatan sekiranya membuat persembahan di Malaysia selepas ini.
“Jadi dia ada meneliti baju saya di media sosial dan sehari selepas itu kami berjumpa untuk berbincang. Saya terkejut besar apabila dia beritahu berminat nak pakai baju saya untuk konsert besarnya di sini.
“Satu penghormatan bila dia terus nak pakai baju pereka tempatan kita dalam satu persembahan skala besar. Rasa teruja campur berdebar bila berpeluang untuk berkarya seterusnya reka baju figura terkenal Seberang seperti Melly Goeslaw.
“Iyalah bukan senang nak dapat kepercayaannya memandangkan sebelum ini dia belum pernah pakai mana-mana persalinan yang direka oleh pereka fesyen Malaysia. Rasa syukur sebab kita tahu namanya pun bukan calang-calang di rantau ini,” katanya kepada URTV ketika ditemui baru-baru ini.
Busana bernilai RM130,000, paling mahal dihasilkan
Berbicara mengenai rekaan yang menjadikan fabrik denim sebagai asas pakaian, Ezuwan menjelaskan baju yang direka adalah yang termahal pernah dihasilkan.
“Sesuai dengan karektor dan personaliti Melly, Saya memilih fabrik denim sebagai input utama rekaan yang disulami dengan perincian penuh manik dan mutiara pelbagai saiz yang dijahit tangan dari atas sampai bawah.
“Lebih 70,000 manik dan mutiara telah digunakan yang mengambil masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan. Kalau dijual di pasaran, harganya sekitar RM130,000 dan mutiara pelbagai saiz itu juga dibeli dari luar negara.
“Memang mahu cipta satu kelainan yang eksklusif memandangkan ramai yang sedia maklum perincian serta jahitan yang kemas adalah ‘signature’ Ezuwan Ismail Kuala Lumpur,” ujarnya.
Sesi ‘fitting’, busana segmen penutup konsert & maklum balas positif
Menganggap Melly seorang yang tidak cerewet dan mudah bekerjasama, Ezuwan menyifatkan satu kepuasan bagi dirinya apabila sesi ‘fitting’, tidak ada sebarang perubahan dilakukan pada rekaan berkenaan.
“Melly juga gembira dan tidak minta sebarang perubahan dilakukan pada mana-mana bahagian baju bila sesi ‘fitting’ dilakukan.
“Satu penghormatan juga bila Melly menyarung ia pada penutup konsert semalam yang kita tahu lagu-lagu hitsnya telah dipersembahkan pada segmen itu.
“Malah sudah semestinya jangkaan orang luar juga tinggi untuk lihat apa lagi yang boleh Ezuwan Ismail Kuala Lumpur hasilkan sebab sebelum ini saya sudah mereka persalinan ikonik untuk konsert besar Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul dan Ziana Zain.
“Syukur atas pelbagai maklum balas positif yang diterima. Saya anggap ini rezeki dan sudah semestinya pencapaian baik ini menjadi pembakar semangat untuk Ezuwan Ismail Kuala Lumpur terus mencipta sukses selepas ini, insya-Allah,” katanya lagi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

