PENYANYI terkenal, Jaclyn Victor meluahkan rasa gembira apabila bekas suaminya, Shawn Rivera sudah berkahwin dengan wanita pilihan hatinya, baru-baru ini.
Menurut Jaclyn atau nama lengkapnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 46, berita tersebut diketahuinya sejurus bekas suaminya itu yang juga merupakan anggota kumpulan muzik R&B Az Yet memuat naik satu hantaran di Instagram (IG) bagi mengesahkan statusnya yang sudah berkahwin.
“Saya tak tahu pun (kahwin). Dia hanya maklumkan dekat IG. Dia pun hanya umumkan di platform itu sahaja.
“Sebelum ini dia ada berkata tidak mahu berkahwin semula dan akhirnya dia bertemu jodoh.
“Saya sangat gembira dan saya ucapkan tahniah kepada dia di IG. Saya mendoakan dia dan isteri bahagia selama-lamanya,” ujarnya kepada URTV.
Jaclyn berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di sidang media First Solo Concert Jaclyn Victor yang berlangsung di Madam Lee Nyonya, Hotel Palm Garden Putrajaya, hari ini.
Disamping itu, pelantun lagu Gemilang ini turut memberitahu bahawa hubungannya bersama bekas suami masih kekal mesra demi membesarkan anak-anak mereka.
Malah, Shawn juga sempat bertemu dengan anak-anak mereka ketika berada di Malaysia sekitar Mei lalu.
“Kami masih berkawan dan mencuba untuk jadi yang terbaik untuk anak-anak.
“Dia tak tinggal di sini tapi dia sering telefon dan buat panggilan video dengan mereka (anak-anak).
“Dia baru balik awal Mei lalu dan sempat jumpa anak-anak,” jelasnya.
Dalam acara yang sama, Jaclyn turut mengumumkan akan melancarkan sebuah konsert solo pertamanya dengan penuh kemeriahan yang dijadualkan berlangsung pada 12 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Jaclyn dan Shawn pernah mendirikan rumah tangga pada 19 Julai 2014 namun berpisah setelah lima tahun pernikahan.
Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Jonah Joshiah Rivera,9 tahun dan Molly Marguerite Rivera yang kini berusia 7 tahun.

