
KEPUTUSAN dan pendirian kerajaan untuk tidak melanjutkan tempoh kemasukan pekerja ke negara ini menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 termasuk dari Bangladesh yang berakhir pada 31 Mei lalu adalah tepat sekali.
Sepertimana kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tempoh yang diberikan oleh Malaysia adalah munasabah untuk menguruskan segala prosedur kemasukan pekerja asing dan tarikh 31 Mei ditetapkan selepas mengambil kira semua proses bermula daripada kuota diluluskan, pemeriksaan Kesihatan, mendapatkan visa dan mengatur tiket.
‘’Ternyata baru-baru ini jumlah kemasukan lebih 20,000 pekerja asing dalam masa empat hari (28 Mei hingga 31 Mei) dan apabila kita semak antara yang masuk itu, kelulusan visa itu diperoleh November tahun lepas. Isunya kenapa tunggu sampai 31 Mei untuk bawa masuk,’’ kata Saifuddin.
Jika itu penjelasan Saifuddin maka Malaysia perlu bertegas dalam soal itu dengan tidak melayan sebarang permohonan atau rayuan khususnya dari Bangladesh yang memohon hampir 17,000 orang warga negara itu yang mempunyai visa kerja yang diluluskan namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk tiba di Malaysia dibenarkan masuk.
Malaysia harus menolak permintaan Menteri Kebajikan EKspatriat dan Pekerja Di Luar Negara Bangladesh Shofiqur Rahman Choundry yang menggunakan istilah ‘’tempoh khas diberikan SEKALI (one off) untuk pekerja-pekerja itu memasuki Malaysia’’.
Kalaulah permohonan Bangladesh diterima, bagaimana dengan negara lain yang mungkin akan membuat permohonan yang sama, tetapi anehnya tidak pula dengar negara lain ada masalah itu. Ia bermakna masalah tersebut wujud kerana kelemahan pengurusan di Bangladesh bukan soal tempoh diberi tidak mencukupi.
Lebih menimbulkan persoalan ialah kenyataan Choundry bahawa dua minggu lalu, beliau telah merayu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Haznah Md Hashim agar tarikh kemasukan pekerja dilanjutkan kerana ‘masalah ini telah dijangka’.
Kalaulah ‘’masalah ini telah dijangka’’, kenapa kerajaan Bangladesh atau pihak-pihak bertanggungjawab di sana tidak membuat persediaan lebih awal bagi mengelakkan ‘’masalah yang dijangka itu’’ berlaku? Adakah atas tanggapan Malaysia memerlukan pekerja Bangladesh, maka kerajaan negara itu mengambil mudah tarikh akhir tersebut? Apa istimewanya Bangladesh untuk diberi layanan seumpama itu?
Malaysia tidak perlu ada apa-apa sentimen atau ‘terpengaruh’ dengan kenyataan Choundry yang berharap Malaysia akan mempertimbangkan nasib pekerja ‘yang masa depannya bergantung pada pekerjaan di Kuala Lumpur’.
Dan Malaysia juga tidak perlu bersimpati dengan kenyataan beliau yang cuba memainkan perasaan dengan mengatakan, ‘’jika tidak (ke Malaysia) mereka akan mengalami kesusahan yang melampau memandangkan ramai antara mereka telah menghabiskan simpanan atau meminjam wang untuk membayar ejen bagi dokumentasi”.
Itu masalah Bangladesh bukan masalah Malaysia, apatah lagi Choundry juga berkata, taufan, ketiadaan penerbangan dan koordinasi ejen yang lemah menghalang ramai pekerja pergi ke Dhaka kemudian ke Malaysia.
Perlu diingat, ini bukan kali pertama Bangladesh menghantar pekerja ke negara ini, tak kan kerajaan negara itu dan pihak-pihak yang terlibat tidak belajar bagaimana mahu memastikan kesemua pekerja yang didakwa Choundry mempunyai visa dengan rujukan diluluskan dari Jabatan Imigresen Malaysia serta kad sah dari Biro Tenaga Kerja, Pekerjaan dan Latihan Bangladesh dapat terbang ke Malaysia sebelum tarikh akhir?
Kenyataan Choundry membuktikan pokok pangkal masalah adalah berpunca di Bangladesh bukan disebabkan pihak di Malaysia khususnya Jabatan Imigresen. Oleh itu kenapa perlu Malaysia melayannya?
Atas sebab itu penulis menyokong ketegasan Saifuddin dan kerajaan dalam soal ini apatah lagi Saifuddin menegaskan, mengikut unjuran jumlan dengan trend kemasukan lebih 20,000 baru-baru ini, negara akan mempunyai lebih 2.6 juta pekerja asing menjelang Disember ini, melebihi sasaran Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu 2.5 juta pekerja asing.
Beliau juga menjelaskan, kemasukan pekerja asing telah mencecah sasaran keperluan tenaga asing bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan manakala bagi sektor perladangan dan pertanian kerajaan akan memproses mengikut keulusan kuota yang sedia ada buat masa ini tanpa melibatkan kelulusan baru.
Berdasarkan penjelasan Saifuddin terbuktilah Malaysia tidak perlu melayan rayuan Bangladesh melalui Choundry. Apatah lagi, angka 2.5 juta jumlah pekerja asing itu ialah yang berdaftar, yang bertaraf Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) entah berapa ramai lagi. Kita juga sama sekali tidak boleh membiarkan masalah pekerja Bangladesh terkandas tanpa majikan selepas tiba di negara ini berulang. Mereka menjadi mangsa penipuan sindiket apabila mendarat di negara ini tetapi tidak ada pekerjaan.
Akhirnya, kesemua mereka akan ditempatkan oleh sindiket di negara ini di tempat-tempat tertentu dalam keadaan menyedihkan sementara menanti ada tawaran pekerjaan. Adakah kita mahu melihat senario ini berulang?
Oleh itu, tidak payahlah Malaysia membuang masa menangani masalah yang dicipta oleh Bangladesh. Pada masa sama, Saifuddin juga perlu memastikan pihak berkuasa Malaysia bersiap sedia sepenuhnya dalam menangani kemungkinan kemasukan ‘untuk bekerja secara haram’.
Sindiket akan melakukan apa sahaja cara untuk mengautkan keuntungan dengan mengeksploitasi warga Bangladesh ini. Sindiket tersebut pastinya beroperasi di negara itu dengan kerjasama sindiket di negara ini kerana bak dialog dalam filem Tiga Abdul arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, ‘’meniaga manusia lagi bagus daripada unta’’.
Kesimpulannya Malaysia perlu tegas dan tidak mengubah keputusan yang dibuat kerana ia akan memberi pengajaran khususnya kepada Bangladesh supaya tidak meletakkan beban terhadap masalah yang mereka cipta kepada Malaysia.

