EMI Music Malaysia tampil dengan produk terbarunya iaitu “OMK (Oh My Kadhale)” daripada Ezra Kairo dan Zubir Khan. Setelah mengeluarkan lagu duet Anak Helang dan single berjudul Benar yang menerima lebih daripada satu juta pendengar.
Penulis lirik “OMK (Oh My Kadhale)” merupakan Ezra dan Zubir sendiri. Manakala. komposer bagi lagu tersebut adalah gabungan daripaa Ezra, Zubir dan Mingaling yang turut menyelitkan campuran bahasa Melayu serta bahasa Tamil.
Lagu ini menceritakan tentang bagaimana seorang lelaki sangat menyukai wanitanya dan dia berjanji untuk membahagiakan wanita tersebut. Lirik lagu ini juga menceritakan bagaimana lelaki itu bersungguh ingin menyakinkan wanita tersebut bahwa dia akan menjaga dan mencintainya dengan sepenuh hati karena lelaki itu sangat menyayangi dan tidak mampu kehilangan wanita tersebut.

“Saya berasa amat gembira dengan sambutan dan penerimaan terhadap lagu “OMK (Oh My Kadhale)” daripada rakyat Malaysia. Lagu ini adalah dwibahasa, menggabungkan bahasa Tamil dan bahasa Melayu.
“Namun, saya tidak menyangka bahawa seluruh Malaysia akan mendengar dan menikmati lagu ini, terutama sekali masyarakat Melayu. Saya sangat berbesar hati dan bangga dapat mempersembahkan sebuah lagu yang menyatukan rakyat kita yang berbilang kaum,” kata Ezra.
Sementara itu, Zubir menganggap “OMK (Oh My Kadhale)” adalah lagu yang unik dan istimewa kerana ia berjaya menjadi “trending” nombor satu di Carta Muzik Malaysia.
“Lagu ini telah memberi kesan besar dalam hidup saya dan berbangga ia mendapat sambutan daripada kedua-dua komuniti Melayu dan India, menjadikannya lebih istimewa.
“OMK (Oh My Kadhale)” telah mencapai populariti yang luas dan membawa pengalaman muzik yang segar dan unik kepada rakyat kita dan semoga ia dapat menyatukan kita semua dalam komuniti berbilang bangsa,” ujarnya.
Menurut Ketua EMI pula, Adib Hamdi, setelah satu tahun pelancaran semula, pihaknya telah mencapai beberapa kejayaan kecil yang menyumbang kepada visi strategik yang lebih besar.
“Pencapaian awal ini dijangka membuka jalan untuk pencapaian yang lebih besar pada masa hadapan. Selepas “OMK (Oh My Kadhale)”, EMI akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk muncul sebagai peneraju pasaran.
“Kami percaya bahawa kejayaan awal ini akan menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih besar, mendorong EMI ke arah menjadi
peneraju pasaran dalam masa terdekat,” kongsinya.
“OMK (Oh My Kadhale)” dilancarkan pada 17 Mei di ke semua pelantar muzik digital, kini berjaya mencapai lebih 700,000 tontonan dalam masa satu minggu dan kini “trending” nombor satu untuk video muziknya di YouTube. “OMK (Oh My Kadhale)” turut mencapai sebanyak lebih 120,000 pendengar di Spotify.
“OMK (Oh My Kadhale)” boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan iTunes.

