LEBIH 30 pengusaha dan penternak kupang di sekitar perairan Kuala Sebatu mendakwa terjejas teruk selepas penguatkuasaan larangan menjual dan memakan dwicangkerang dilaksanakan sejak April lalu.
Justeru, mereka menggesa agensi berkaitan termasuk kerajaan negeri mengambil tindakan segera untuk membantu mereka yang terjejas pendapatan.
Seorang penternak kupang, Hamzah Abu Bakar, 42, berkata pengusaha di kawasan itu mengalami hampir 100 peratus kerugian sejak tempoh berkenaan.
Sejak April lalu, katanya, punca pendapatannya terjejas teruk memandangkan tidak dapat memasarkan kupang yang sebelum ini menjadi punca pendapatan utama.
“Saya langsung tidak dapat kutip dan pasarkan kupang dan terpaksa berhenti menternaknya sejak larangan itu dikuatkuasakan.
“Keadaan ini membuatkan saya terpaksa kembali kepada kerja asal iaitu menangkap ikan yang hasilnya tidak menentu dan sekiranya kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan tidak membantu, keadaan akan lebih buruk,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kuala Sebatu, Merlimau.
Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Jasin, Mohd Sah Hashim turut bimbang keadaan hasil pendapatan ahlinya yang mengusahakan ternakan kupang merudum selepas kerugian mencecah ratusan ribu ringgit termasuk kerang dan benih kupang.
Menurutnya, bagi kawasan Kuala Sebatu sahaja terdapat 33 panggar yang beroperasi sama ada di bawah persatuan atau persendirian, dengan kapasiti 500 tali bagi satu panggar.
“Dulu kita menjual sekitar 100 kilogram (kg) kupang seminggu dan jika kurang kita ambil dari nelayan sekitar.
“Namun sejak beberapa bulan ini, kita terpaksa membuat kerja lain dan hanya mampu meraih sekitar RM800 hingga RM1,000 sahaja,” katanya.
Baca artikel lain: Ibu bapa Zayn Rayyan boleh dibebas dengan jaminan polis, kata peguam
Banyak kupang mati
Tambah beliau, masalah berpunca daripada alga berbahaya yang dikesan di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan itu juga menyebabkan banyak kupang diternak mati di dalam panggar.
“Sebabnya ialah kita tak boleh kutip dan kupang ini bila dah sampai saiz matang, ia akan mati… bayangkan kerugian perlu dihadapi penternak yang sebelum ini menjual antara RM7 dan RM8 sekilogram,” katanya.
Ibarat pepatah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, perusahaan dijalankan sejak 2017 itu juga diancam kecurian pihak tidak bertanggungjawab.
“Jadi kita benar-benar berharap kerajaan negeri Melaka menambah baik keadaan ini dan ambil tindakan segera termasuk memberi pampasan sewajarnya kerana rata-rata pengusaha ini tidak mempunyai pendapatan lain selain mengusahakan kupang,” katanya.
Dalam pada itu Pengarah Perikanan negeri, Saufi Affandi Talib berkata pihaknya masih memantau dan menjalankan pensampelan secara mingguan.
“Ini kerana paras plankton berbahaya spesies ‘Prorocentrum Alexandrium’ di perairan ini masih tinggi dan semua dwicangkerang seperti kupang, kerang dan lokan tidak selamat untuk dimakan.
“Oleh itu larangan pengutipan hasil, pengedaran, penjualan termasuk memakannya bagi spesies tersebut masih berkuatkuasa,” katanya.
- BERNAMA
- Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
- Ikuti langkah ini:
- Langkah 1: Layari utusantv.com
- Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
- Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
- Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
- Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

