Walaupun masyarakat hari ini hidup dalam arus kemodenan, ia tidak memadamkan budaya dan ritual yang telah diamalkan sejak zaman dahulu. Ada bermacam-macam tradisi aneh yang masih diteruskan. Salah satunya di Las Paz yang terletak di Bolivia, Amerika Latin.
Segelintir masyarakat di situ masih ada yang meraikan perayaan ‘hari tengkorak’. Tradisi dengan nama tempatan dikenali sebagai ‘Dia de los Natitas’ merupakan tradisi kuno yang berasal dari suku Andes dan ia diraikan pada bulan November setiap tahun.
Setiap kali tibanya bulan tersebut, tengkorak-tengkorak akan dihias dengan pelbagai jenis bunga. Malah ada yang memanjakannya dengan memakaikan topi dan cermin mata hitam. Bahkan ada juga di antaranya meletakkan rokok dan daun koka pada celah-celah gigi tengkorak ini.

Setelah selesai didandan, tengkorak berkenaan akan diarak dan kemudian diletakkan di luar kawasan perkuburan. Di situ, mereka akan berkumpul untuk mempamerkan tengkorak masing-masing.
Tengkorak siapa yang mereka solek dan raikan itu? Sebenarnya tengkorak itu diambil daripada kubur milik nenek moyang, saudara-mara dan teman rapat masyarakat ini. Namun, ada juga sesetengah tengkorak ini tidak diketahui identitinya kerana ia diambil daripada bilik mayat hospital. Tidak kurang juga ada yang membelinya daripada peniaga tengkorak haram.
Kegiatan mengambil tengkorak kepala ini adalah satu perkara biasa di republik penghasil koko itu. Justeru, adalah tidak menjadi satu kesalahan jika kegiatan itu dijalankan di sana. Ini kerana mereka sangat percaya bahawa setiap orang sebenarnya memiliki tujuh roh. Salah satu roh tersebut dipercayai kekal berada dalam tulang rangka.
Lantaran itu, meraikan Hari Tengkorak bagi mereka seperti membawa makna meraikan roh yang terdapat di dalam tulang rangka manusia. Berdasarkan kepercayaan inilah, masyarakat ini menggali semula kuburan ahli keluarga mereka bagi membolehkan mereka menunjukkan kasih sayang kepada si mati.

Proses penggalian semula ini bermula selepas beberapa hari upacara pengebumian berlangsung. Pada tarikh yang ditetapkan, kuburan digali dan tengkorak diambil, lalu dibawa pulang. Kerangka itu kemudian dibersihkan dan disimpan di rumah untuk dijaga dengan rapi.
Mengikut kepercayaan, roh yang terdapat dalam kerangka ini mempunyai kuasa ‘menyembuhkan sakit’ dan memberi pelindungan. Tapi jika ia tidak dihormati, roh yang bersemayam pada tengkorak tersebut dikatakan boleh membawa nasib malang untuk seluruh ahli keluarga berkenaan. Ia juga dikatakan mampu untuk merosakkan tanaman atau menyebabkan hasil tanaman tidak mendatangkan hasil yang baik.
Selain itu, ada juga yang percaya bahawa perayaan kuno itu hanyalah bertujuan untuk memperingati dan memberikan penghormatan kepada orang yang telah mati. Jadi mereka tidak perlu lagi membawa tengkorak dan berarak ke kuburan sebaliknya, mereka hanya perlu melawat kuburan keluarga yang sudah mati dan membersihkan kuburan itu. Perayaan ini dipanggil sebagai Hari Orang Mati atau ‘Dia de los Muertos’.

Upacara memperingati orang mati ini dilakukan dalam bentuk perkelahan di tepi kuburan keluarga tersayang. Kononnya ia dilakukan sebagai simbolik untuk menunggu ketibaan roh si mati. Ritual ini dijalankan kerana mereka meyakini bahawa roh keluarga yang telah meninggal dunia akan keluar untuk melihat kalau-kalau mereka masih diingati oleh ahli keluarga atau rakan-rakan.
Justeru, untuk menggembirakan roh si mati, ahli keluarga akan mempersembahkan makanan dan segala perkara yang disukai si mati semasa hidup. Antaranya, gula-gula, mainan, buah-buahan, bunga dan lilin di samping gambar-gambar si mati.
Menurut ahli antropologi dari Cemter for Ecology and Andean Peoples, Marcelo Lara, setiap kali tiba perayaan ini, ia semacam satu percutian yang berwarna-warni. Pada hari tersebut, ahli keluarga akan membelanjakan sejumlah wang yang banyak. Kos perbelanjaan untuk upacara itu adalah sebagai satu cara untuk menunjukkan status masing-masing.
Namun demikian, perayaan ini cuma diraikan oleh golongan miskin dan petani saja. Golongan atasan dan bangsawan dikatakan sudah tidak berminat untuk menyertai perayaan begini.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

