Mayatnya ditemui terapung, misteri kematian Mary Rogers yang masih gagal dirungkai

Dari Penulis

Mary Cecilia Rogers dilahirkan di New York pada tahun 1820. Ibunya menjadi janda ketika dia berusia lima tahun. Bagi menampung hidup, ibu Mary telah mengendalikan sebuah rumah tumpangan di Nassau Street. Di situlah Mary dibesarkan.

Setelah meningkat dewasa, kejelitaan Mary mula menarik perhatian ramai. Disebabkan itu, pemilik sebuah kedai cerut bernama John Anderson menawarkannya jawatan jurujual. Kedai cerut yang terletak di Broadway itu mula menjadi tumpuan orang ramai apabila Mary bekerja di situ.

Tahun 1840, kedai cerut ini mula berkembang. Strategi menjadikan Mary pelaris kedai telah membawa keuntungan kepada John Anderson. Lama-kelamaan, Mary mulai terkenal di kalangan lelaki muda.

Keadaan itu menyebabkan ibu Mary tidak senang hati. Dia merasakan idea John Anderson memberi kerja sebagai jurujual kepada anaknya bukanlah sesuatu yang baik. Baginya, keadaan itu boleh menyebabkan Mary berdepan dengan bahaya suatu hari nanti.

Walaupun ibunya tidak setuju, Mary tetap bertegas mahu bekerja di situ. Dia gembira kerana setiap hari dapat berjumpa dengan ramai orang dan berjaya menjual cerut, sekaligus meningkatkan jualan kedai Anderson.

Pada Januari 1841, Mary tiba-tiba hilang. Dia tidak pulang ke rumah dan tidak ada di kedai. Sehari suntuk ibunya mencari. Menurut catatan penyiasat, Thomas Duke, Anderson tidak tahu ke mana Mary hilang. Catatan itu dimuatkan dalam buku Celebrated Criminal Cases of Amerika yang diterbitkan pada tahun 1910.

Pihak polis melancarkan gerakan untuk mencari Mary di merata ceruk New York. Namun, tiada sesiapa yang nampak kelibat gadis itu. Enam hari selepas kehilangannya, Mary tiba-tiba muncul semula di kedai Anderson. Wajahnya pucat dan comot. Dia kelihatan letih dan sakit.

Apabila ditanya ke mana dia menghilang selama enam hari, Mary memberitahu, dia keluar bandar untuk berjumpa saudara mara. Alasan itu dianggap logik dan diterima Anderson serta ibunya.

Bagaimanapun, penduduk Broadway kemudiannya heboh dengan khabar angin mengatakan Mary telah dilihat bersama dengan seorang lelaki berpakaian kemas. Dipercayai lelaki itu adalah pegawai tentera laut. Namun, khabar angin itu hilang selepas Mary bertunang dengan seorang kerani yang menyewa di rumah tumpangan ibunya. Kerani itu bernama Daniel Payne.

Mayat Mary Ditemui Terapung

Lima bulan kemudian iaitu pada hari Ahad, 25 Julai 1841, Mary mengetuk pintu bilik tunangnya. Dia memberitahu Payne bahawa dia akan ke rumah makciknya di Bleecker Street.

Menurut Payne, pada hari itu, dia juga ada kerja luar dan terpaksa tinggal sehari di luar bilik sewaannya. Bagaimanapun, pada hari tersebut, New York telah dilanda ribut. Memandangkan cuaca tidak mengizinkan, Payne mengambil keputusan untuk membiarkan saja Mary bermalam di rumah makciknya tanpa pergi mencarinya.

Keesokannya, ibu Mary memberitahu Payne bahawa anaknya masih lagi tidak pulang ke rumah. Payne terus bergegas ke Bleecker Street untuk berjumpa dengan makcik Mary yang bernama Downing. Bagaimanapun, Downing memberitahu, dia tidak berjumpa dengan Mary sepanjang tempoh 48 jam lepas.

Dua hari kemudian, tiga orang lelaki telah menjumpai satu mayat terapung dekat Castle Point, Hoboken. Menurut akhbar New York Tribune, mayat itu adalah Mary dan gadis itu adalah mangsa pembunuhan kejam. Ini berdasarkan kepada kesan-kesan yang dilihat pada mayat itu. Ujian autopsi juga mendapati, mayat ini telah dizalimi.

Anehnya, Payne langsung tidak pergi melihat mayat yang dijumpai itu. Sebaliknya, dia mendakwa telah mencari Mary ke seluruh ceruk di New York. Mustahil dia terlupa untuk mencari Mary di Hoboken. Perkara itu menimbulkan keraguan dan pihak polis mengambil keputusan untuk menyoal siasat Payne. Bagaimanapun, dia dilepaskan kerana tiada bukti kukuh untuk mensabitkannya.

Surat Misteri

Seminggu kemudian, pihak polis masih lagi tidak dapat menjejak sebarang petunjuk untuk mengaitkan kes ini dengan apa-apa bukti yang boleh membawa kepada suspek dan pembunuh.

Suatu pagi, seorang koroner telah menerima sepucuk surat daripada seseorang yang tidak dikenali, menceritakan telah ternampak Mary Rogers pada petang Ahad sebelum ‘hilang’ dan ditemui mati.

Kata penulis surat itu, Mary telah dilihat keluar daripada bot bersama enam orang yang berbadan sasa sebelum hilang bersama mereka di dalam sebuah hutan. Tidak lama kemudian, datang lagi tiga orang lelaki di gigi pantai dan salah seorang daripada mereka bertanyakan perihal seorang perempuan bersama enam orang lelaki kepada ‘seseorang’ di pantai.

Jelas individu yang ditanya itu, perempuan dan semua lelaki itu ada di dalam hutan. Sejurus kemudian, mereka bertiga menaiki bot semula dan beredar dari situ.

Keterangan itu menunjukkan kejadian yang menimpa Mary Rogers. Namun ia tidak boleh dijadikan petunjuk kerana individu yang menghantar surat ini tidak diketahui identitinya serta motifnya berbuat begitu.

Tidak lama kemudian, dua orang lelaki datang mengakui isi kandungan surat itu adalah perkara betul dan mereka melihat Mary Rogers seperti yang didakwa. Kemudian, datang pula seorang lelaki bernama Adam memberitahu Mary menaiki feri di Hoboken bersama seorang lelaki yang berpakaian kemas.

Mereka kemudiannya ke sebuah tavern di tepi jalan. Tavern itu mempunyai papan tanda bertulis Nick Mullen. Mereka kemudiannya menikmati minuman sebelum hilang ke dalam hutan.

Dua bulan selepas pembunuhan ini berlaku, beberapa orang kanak-kanak menemui skarf sutera putih dan sapu tangan bertanda huruf ‘M.R’ di sebuah hutan berdekatan kawasan yang dimaksudkan penulis surat. Tidak lama selepas itu, tunangan Mary Rogers, Daniel Payne membunuh diri.

Selepas beberapa lama membuat siasatan, pihak polis berjaya menangkap seorang kaki judi bernama Joseph Morse. Dia didakwa melakukan pembunuhan terhadap Mary Rogers. Ini berdasarkan kepada bukti mengenai kehilangannya di Nassau Street sejurus selepas kehilangan Mary dan dia dijumpai semula selepas mayat Mary ditemui orang ramai.

Meskipun begitu, Morse memberitahu dia telah pergi ke Staten Island pada hari kejadian bersama seorang wanita. Pengakuan itu membuktikan dia tidak terlibat dengan kejadian Mary Rogers.

Menurut laporan akhbar New York Tribune membuat andaian, berkemungkinan wanita bersama Morse itu adalah Mary Rogers. Ini berdasarkan kenyataan yang dibuat Morse mengatakan, wanita yang bersamanya itu adalah Mary dan semasa mereka bersama, wanita itu masih hidup dan dia percaya Mary telah membunuh diri selepas dia meninggalkan wanita itu di sebuah bilik selepas cuba untuk menggodanya.

Pada tahun-tahun berikutnya, seorang penulis bernama Poe telah menulis tentang misteri kehilangan Mary Roger bertajuk Snowden’s Ladies Companion. Poe telah mengemukakan teori bagaimana Mary hilang dan ditemui mati.

Menurut Poe, Mary tidak dibunuh oleh sekumpulan lelaki sebaliknya dia telah dibunuh oleh seorang individu saja. Motif kejadian adalah rogol. Menurut pandangan Poe, kematian Mary adalah disebabkan oleh ‘pengguguran’.

Apakah teori dan andaian Poe itu mempunyai asas yang benar? Benarkah Mary mati kerana proses pengguguran? Jika ya, Mary hamil anak siapa?

Sebenarnya, Poe lupa tentang satu perkara iaitu majikan Mary yang bernama John Anderson. Anderson pernah ditahan polis sebagai suspek kes ini. Tetapi dia dibebaskan. Lima belas tahun kemudian, Anderson telah menjadi jutawan dan berpindah ke Paris.

Sebelum dia meninggal dunia, Anderson pernah memberitahu rakannya mengenai kisah yang menimpa Mary Rogers. Jelas Anderson, dia berasa tidak aman selepas kematian Mary. Ini kerana dia telah membantu Mary untuk melakukan pengguguran selepas gadis itu hamil. Namun, Mary telah meninggal dunia selepas itu. Bagi melindungi identiti orang yang membantu Mary menggugurkan anak, mayatnya dibuang ke laut.

Pengakuan itu telah menjelaskan misteri kematian Mary yang menjadi salah satu kes terkenal di Amerika Syarikat pada kurun ke-19. Bagaimanapun, anak perempuan Anderson bernama Laura Appelton berjaya menyangkal kenyataan itu dengan mengatakan bapanya mengalami masalah mental.

Dia berjaya membuang kes ini daripada dibicarakan di mahkamah dan rekodnya telah dihapuskan. Sehingga kini, kes Mary Rogers masih menjadi misteri dan menimbulkan pelbagai teori dalam bidang sains jenayah.

______


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This