Pengetahuan manusia yang lebih sistematik tentang bintang-bintang yang direkodkan adalah sejak tamadun Mesopotamia. Setelah dicongak, ia lebih kurang 2,000 tahun sebelum Masihi atau 2,000 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa atau 4,000 tahun yang lalu. Pengetahuan paling asas mengenai bintang termasuklah corak yang dibentuk oleh bintang-bintang yang bertaburan di dada langit, ia dikaitkan dengan tuhan dan dewa-dewa serta peristiwa-peristiwa tertentu yang berlaku di bumi oleh masyarakat prasejarah.
Corak-corak bintang yang dikenali sebagai ‘buruj’ adalah berasal daripada perkataan Arab (gugusan bintang) dan dalam bahasa Inggerisnya constellation yang bermaksud kumpulan bintang-bintang. Corak kumpulan bintang yang dibentuk menggambarkan rupa dewa-dewa yang orang zaman kuno menganggpnya sebagai penguasa langit.
Masyarakat moden tidak mempercayai kepercayaan tersebut namun, corak gugusan bintang itu masih dikekalkan sehingga ke hari ini bagi memudahkan saintis memetakan kedudukan sesuatu objek di langit. Gugusan bintang atau buruj dianggap sebagai satu-satunya penghubung di antara masyarakat moden dengan masyarakat zaman silam.

Corak-corak buruj pada hari ini dipercayai berasal daripada corak yang telah dicipta oleh orang Mesopotamia atau yang sebahagiannya mungkin telah diambil daripada tamadun Mesir purba dan kemudiannya diolah dan ditambah dengan buruj baharu oleh tamadun Greek. Corak buruj daripada tamadun Greek itulah yang kita warisi pada hari ini melalui pengkaji-pengkaji di bawah tamadun Islam seperti Ulugh Begh yang hidup pada abad ke-15 Masihi (tahun 1,400 ke atas).
Sehingga hari ini, terdapat 88 buah buruj yang diiktiraf secara rasmi oleh International Astronomical Union (IAU) atau Kesatuan Astronomi Antarabangsa. Jumlah buruj itu membahagikan langit kepada 88 kawasan dengan sempadan masing-masing bagi memudahkan ahli astronomi menentukan kedudukan sesuatu objek yang terletak di langit.
Kehidupan manusia moden pada hari ini sudah tidak begitu bergantung kepada bintang-bintang di langit namun, buruj-buruj tersebut sebenarnya masih lagi signifikan atau bermakna di dalam kehidupan moden kita hari ini.
Bintang telah dijadikan sebagai pandu arah bagi aktiviti pelayaran sama ada di darat mahupun di lautan sejak dahulu lagi. Beberapa bintang tertentu di dalam sesebuah buruj akan dapat menunjukkan arah mata angin seperti selatan dan utara, juga timur atau barat sebagai panduan kepada pelayar untuk meneruskan haluan mereka.
Bukan hanya masyarakat kuno berpandukan bintang ketika berlayar malah pelayar moden juga masih perlu mengetahui teknik-teknik penentuan arah pelayaran menggunakan bintang. Teknik secara manual ini penting untuk membantu sekiranya mereka menghadapi masalah kerosakan ke atas peralatan pelayaran moden seperti penerima GPS, isyarat radio dan sebagainya.

Bagi penduduk beragama Islam di Nusantara atau Asia Tenggara khususnya, mereka menggunakan tiga butir bintang dalam kedudukan sebaris di bahagian pinggang buruj Orion untuk menentukan arah kiblat atau menghadap ke arah Masjidilharam yang terletak di Mekah.
Bintang yang paling hampir dengan bumi ialah matahari. Matahari dan juga bintang-bintang lain boleh digunakan untuk menentukan latitud atau garisan lintang sesebuah kapal di lautan mahupun di daratan. Peralatan yang dinamakan sextant sangat terkenal di kalangan pelayar-pelayar pada suatu ketika dahulu bagi menentukan kedudukan atau latitud kapal yang sedang berlayar. Sextant mengukur kedudukan matahari dari ufuk untuk mengira latitud sesebuah kapal. Pada waktu malam pelayar-pelayar boleh menggunakan bintang pula untuk menentukan latitud mereka.
Selain daripada menentukan kedudukan, bintang-bintang terutamanya matahari telah digunakan untuk menentukan waktu sebelum terciptanya jam mekanikal, kuartza atau juga jam digital seperti hari ini. Pada masa lampau, manusia mencipta jam matahari dengan menggunakan konsep bayang-bayang matahari sebagai penunjuk waktu di atas garis-garis waktu yang dilakar di atas batu atau objek lain, sama seperti waktu yang ditunjukkan oleh jam kita pada hari ini.
Bintang Timur superstar di langit
Petani-petani purba menggunakan petunjuk kemunculan bintang tertentu yang dikaitkan dengan musim-musim tertentu, selain dikaitkan dengan permulaan atau penghujung musim pertanian. Para petani purba di Sungai Nil di Mesir contohnya akan menunggu kemunculan buruj Orion atau buruj Canis Major yang terdapat bintang Sirius – bintang yang paling cerah di langit – untuk memulakan musim penanaman atau aktiviti pertanian mereka.

Bagi masyarakat Mesir purba, mereka menggunakan bintang-bintang tertentu untuk menentukan ketepatan pengukuran di dalam teknologi pembinaan piramid. Terdapat beberapa pintu daripada piramid yang didapati menghala ke arah bintang tertentu apabila dilihat dari bahagian dalam pintu tersebut pada waktu malam.
Kegunaan bintang bukan hanya setakat untuk pelayaran di daratan bumi dan lautan, malahan bintang juga digunakan bagi tujuan pelayaran di angkasa lepas seperti roket Apollo semasa penjelajahan manusia ke Bulan. Begitu juga pelayaran prob-prob pemerhati ke planet-planet lain sehinggalah penjelajahan ke planet Marikh, Musytari, Pluto dan juga ke pinggir sistem suria kita seperti prob Voyager.
Angkasawan yang berada di dalam roket Apollo adalah juga seperti pelayar di lautan dan sekiranya mereka ingin mengetahui kedudukan mereka di angkasa lepas, mereka akan berpandukan kepada bintang-bintang yang dapat diperhatikan dari kapal angkasa. Kemahiran tersebut amat penting sekiranya peralatan navigasi di dalam roket yang membawa mereka ke angkasa lepas mengalami kegagalan berfungsi serta bagi memastikan bahawa mereka boleh pulang semula ke Bumi dengan selamat.

Corak-corak buruj di langit yang kita lihat sejak 4,000 tahun yang lalu sehingga ke hari ini seolah-olah tidak mengalami sebarang perbezaan, tetapi sebenarnya buruj itu mempunyai bentuk yang berbeza untuk suatu skala masa yang lebih besar dari tempoh 4,000 tahun sama ada ke belakang atau ke hadapan.
Untuk tempoh 250,000 tahun dari sekarang, buruj Biduk atau Big Dipper (Gayung Besar) akan berubah bentuk kerana perubahan kedudukan yang disebabkan oleh pergerakan sebenar bintang-bintang di alam semesta. Begitu juga dengan kedudukan bintang-bintang lain di alam semesta, semuanya akan berubah dalam suatu skala masa yang besar.
Di antara jutaan bintang-bintang di langit, ada satu bintang yang digelar Bintang Timur. Mungkin nama tersebut disebabkan oleh kedudukan kemunculan bintang tersebut yang selalunya di sebelah timur setiap kali ia muncul menjengah penduduk dunia.
Menurut pandangan penulis, Bintang Timur sebenarnya planet Kejora (Venus) atau planet Utarid (Mercury) yang akan kelihatan seperti sebutir bintang yang sangat cerah muncul di sebelah timur sebelum terbit atau sebenarnya juga boleh muncul di barat selepas matahari terbenam.
Walaupun planet-planet itu seumpama bintang namun, sebenarnya ia berbeza dari bintang-bintang kerana kedua-dua planet ini tidak berkelip seperti bintang-bintang sebenar yang lain. Ada yang mengesyorkan bahawa bintang tersebut mungkin sudah mati sejak dahulu lagi dan yang kita lihat kini hanyalah cahaya yang ditinggalkan olehnya. Kedua-dua planet tersebut sebenarnya masih wujud cuma, masa kemunculannya berubah-ubah mengikut kedudukan relatifnya di dalam orbit mereka masing-masing. Wallahualam.
“Maha Suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang-bintang dan Dia juga menjadikan padanya matahari dan bulan yang bersinar.” (al-Furqaan: 61)
PENULIS : MOHD ZAMRI SHAH (Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara)
______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

