PENYANYI baharu, Andyoso, mendedahkan pernah menerima tawaran berjumlah RM10,000 untuk menjadi ‘teman lepak-lepak’.
Menurut Andyoso atau Andika Zulkefli,20, tawaran tersebut diterima melalui mesej di media sosialnya selepas secara tidak sengaja mendedahkan lokasi tempat tinggalnya.
“Ada, ada juga tapi saya tak layan sebab sebelum ni saya rahsiakan tempat tinggal tapi haritu saya terlepas cakap tempat (lokasi) dalam satu ucapan.
“Lepas itu, dia ada cakap dia tahu tempat (lokasi) saya. Saya tak buat apa-apa, saya ‘blocked’ (sekat) saja,” katanya kepada URTV.
Tambah Andyoso, individu tersebut cuba memanipulasi maklumat yang diterima untuk menawarkan sejumlah wang yang besar.
“Dia kata awak duduk Seremban kan, saya bagi amaun RM10,000 tapi keluar dengan saya pada waktu yang ditetapkan,” tambah Andyoso.
“Saya ‘blocked’ terus, saya pun ada laporkan dekat label saya. Saya ‘screen shot’ hantar dekat label kemudian saya ‘blocked’.
“Saya ada serahkan media sosial peribadi saya kepada label jadi kalau mereka tengok yang pelik-pelik, label akan dapat tahu,” jelasnya.
Andyoso berkata insiden ini bukanlah yang pertama kali berlaku tetapi dia pernah menerima mesej daripada individu lain termasuklah dalam kalangan wanita.
“Itu yang terkesan lah yang lain saya tak semak sangat, perempuan pun ada juga (mesej).
“Buat masa sekarang tak ada lah, saya pun minta dijauhkan dengan perkara-perkara sebegini, saya pun jarang berjumpa dengan orang yang tak kenal,” katanya.
Sebagai seorang artis baharu, Andyoso mengakui bahawa dia sentiasa berjaga-jaga dengan risiko-risiko yang datang bersama populariti.
Dia menegaskan kepentingan pendidikan dalam hidupnya sebagai langkah perlindungan diri.
“Saya takut benda macam ni lah dari dulu, bila dah ceburi bidang ni kena terima lah.
“Risau, sebab tu saya letak muzik ni nombor dua. Pertama saya akan utamakan pelajaran. Dengan pelajaran, saya mungkin dapat elakkan perkara yang lalai macam ni,” ujarnya.
Andyoso juga mendedahkan bahawa dia adalah satu-satunya ahli keluarganya yang menceburi bidang muzik dan sentiasa menerima nasihat daripada keluarganya untuk berhati-hati.
“Keluarga saya tiada yang ada latar belakang muzik. Saya orang yang pertama tapi mereka berpesan supaya jaga diri sebab kita tak tahu dunia muzik macam mana sebab tak ada pengalaman daripada keluarga,” akhirinya.
Untuk rekod, Andyoso baru sahaja melancarkan single terbaru Pendamping Hidupku di bawah label Awal Muzik Entertainment.

