Pernahkah anda melawat Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah? Jika pernah, adakah anda sedar bahawa lantai marmar yang menghiasi dua masjid ini mempunyai kisahnya yang begitu unik dan ajaib sekali.
Hebatnya lantai marmar yang terpasang di dua masjid suci umat Islam iaitu Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah ialah ia tahan panas untuk membuatkan jamaah yang beribadah di dalamnya berasa nyaman dan selesa.
Lantai marmar putih yang dipasang pada kedua masjid ini sebenarnya adalah hasil idea bernas dari seorang arkitek mualaf berasal dari Mesir bernama Muhammad Kamal Ismail. Dia yang dilantik oleh Raja Fahd bukan sahaja mengusulkan idea memasang lantai marmar menggunakan batu ajaib yang tahan panas, malah dia juga yang mereka bentuk dan mengawal selia projek pembesaran Masjidil Haram pada tahun 1926 dan Masjid Nabawi pada 1941.
Pembesaran Masjidil Haram pertama
Memetik dari Arab News, projek pembesaran pertama secara besar-besaran Masjidil Haram berlaku pada tahun 1926. Pada saat ini, pembesaran Masjidil Haram disebut-sebut sebagai pembesaran terbesar dalam 14 abad.
Selain dibesarkan kawasan masjid, di sekelilingnya juga ditambah dengan 3 menara, mengganti lantainya kepada marmar, mendirikan khemah-khemah di Mataf bagi melindungi para jamaah dari panas matahari dan menurap laluan pejalan kaki dari Safa ke Marwah.
Setelah dibesarkan sehingga menjadi sekitar 356,800 meter persegi, Masjidil Haram mampu menampung sehingga 820 000 jemaah pada hari-hari biasa dan lebih satu juta jemaah pada musim haji serta bulan Ramadan.
Kerana Masjidil Haram adalah masjid yang begitu suci bagi umat Islam, dan dikunjungi oleh jutaan manusia saban hari, maka Raja Fahd mahu agar masjid ini dibina dengan hasil teknologi yang hebat dan mengagumkan.
Maka itu Kamal Ismail mencadangkan agar lantainya menggunakan marmar putih yang tahan panas menghiasi Masjidil Haram kerana mengambil kira keadaan cuaca di Arab Saudi yang panas terik bagi memberi keselesaan kepada jamaah beribadah.

Ketika itu tidak banyak perusahaan yang membuat marmar berkualiti tinggi. Oleh itu marmar yang digunakan ini sangat sukar didapati di dunia. Ia terpaksa diimport dari negara Yunani di mana batu itu terletak di sebuah pergunungan kecil. Dan hanya satu perusahaan sahaja yang mengeluarkannya. Kamal Ismail akhirnya berhasil mendapatkan stok yang cukup untuk Masjidil Haram dengan membeli separuh dari stok yang ada.
Sejajar dengan peredaran masa, Masjidil Haram sentiasa mengalami perubahan dan perluasan dari masa ke semasa. Ketika ini Masjidil Haram telah menjadi masjid yang terbesar di dunia dengan luasnya 357 ribu meter persegi. Ia mampu menampung seramai 1 hingga 2 juta jamaah di dalamnya.
Selain menjadi tempat solat, Masjidil Haram juga merupakan tempat jamaah umrah dan haji melakukan tawaf kerana di dalamnya terletak sebuah bangunan empat segi yang dinamakan Kaabah.
Bangunan kubus ini mempunyai sudut-sudut yang tajam dan dinding yang rata. 4 permukaan dindingnya dilapisi dengan kain hitam yang disebut “kiswah”. Kain hitam ini turut dihiasi pula dengan kaligrafi emas yang tertera petikan ayat-ayat dari al-Quran.
Memiliki panjang sekitar 12.86 meter, dengan lebar 11.03 meter dan tinggi 13.1 meter, Kaabah menjadi kiblat utama bagi umat Islam mendirikan solat. Di salah satu penjuru Kaabah terdapat sebiji batu dari syurga yang dinamakan hajar aswad. Batu ini berukuran diameter 30 cm dan terletak 1.5 meter di atas tanah pada dinding Kaabah.
Adapun isi dalam Kaabah hanyalah ruangan kosong dengan lantai marmar berwarna putih juga di sebahagian dindingnya. Di dalam Kaabah terdapat 3 tiang penyangga yang berasal dari pokok jati Burma.
Manakala di tengah-tengah ruangan Kaabah terdapat kotak marmar yang menyimpan minyak dan wangian yang digunakan untuk membasuh dan membersihkan bahagian dalam Kaabah. Bersambung…
__________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

