KERAJAAN mengaktifkan pelan evakuasi untuk membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh susulan situasi yang semakin memuncak di negara berkenaan.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media, hari ini.
Menurut Mohamad, kesemua rakyat Malaysia termasuk 124 pelajar itu akan dibawa pulang menggunakan pesawat khas AirAsia A330, esok.
Katanya, pesawat khas berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka pada pukul 10 pagi waktu tempatan.
Beliau berkata, pelan evakuasi itu juga telah menerima kelulusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta supaya perancangan tersebut disegerakan.
“Seperti mana kita tahu, situasi keselamatan di Bangladesh tidak berapa baik dan penilaian kita buat pada masa ini, kita mencapai kata putus bahawa pelan evakuasi akan digerakkan bagi membawa pulang rakyat kita termasuk pelajar dan kaum keluarga petugas Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.
“Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka hari ini sedang berusaha untuk mengumpulkan semua rakyat Malaysia termasuk pelajar dengan bantuan pihak keselamatan Bangladesh bagi membawa mereka ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
“Kita membawa pesawat besar kerana sekiranya ada pada saat akhir warga Malaysia yang tidak berada dalam radar kita mahu pulang, jadi mereka boleh pulang dengan pesawat tersebut,” katanya dalam sidang media tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan, seramai 139 pelajar disahkan berada di Bangladesh dengan 15 daripadanya telah selamat pulang.
Katanya, seorang pelajar Malaysia di Chittagong Medical College tidak akan dibawa pulang mengambil kira kawasan itu berada jauh daripada lokasi rusuhan.
Beliau berkata, pihak Konsul Terhormat Malaysia telah diminta untuk memberi jaminan keselamatan terhadap pelajar berkenaan.
“Kita telah minta Konsul Terhormat untuk menjaga anak kita itu dan Konsul Terhormat Malaysia di sana telah memperakukan untuk menjaga keselamatan anak kita tersebut,” katanya.
Baca artikel lain: Keluarga berharap urusan evakuasi semua pelajar di Bangladesh disegerakan
Sementara itu, Mohamad turut menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan tidak menokok tambah cerita kononnya kerajaan menerusi Kementerian Luar tidak melakukan apa-apa sejak krisis berlaku di Bangladesh.
Beliau menegaskan, Wisma Putra berurusan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejak hari pertama rusuhan di negara itu tercetus.
Malah, Mohamad berkata, beliau sendiri berurusan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka hampir setiap hari sebelum capaian telekomunikasi menjadi terhad ketika ini.
“Kepada ibu bapa atau saudara mara pelajar kita di sana, saya minta supaya bertenang kerana tindakan telah diambil dan pelan evakuasi akan dilaksanakan untuk kita membawa balik mereka.
“Kebajikan dan urusan menjaga keselamatan anak-anak kita di Bangladesh merupakan keutamaan kita, insya-Allah.
“Pada awalnya pihak kedutaan dan Kementerian Luar menganalisis keadaan di Bangladesh itu cuma gerakan daripada pelajar tetapi kebelakangan ini sudah menjadi satu gerakan anti kerajaan yang dirampas oleh pihak berkepentingan.
“Jadi kami tidak jangkakan bahawa isu ini akan selesai segera, maka jalan terbaik ialah bawa balik rakyat kita kembali tanah air,” katanya.
Demonstrasi yang berlangsung sejak 1 Julai itu menyaksikan 133 orang terbunuh dalam protes membantah pengenalan semula sistem kuota perkhidmatan awam.
Mahkamah Agung Bangladesh pada Ahad memutuskan bahawa 93 peratus daripada semua pelantikan penjawat awam akan dibuat berdasarkan merit berkuat kuasa serta-merta dengan lima peratus diperuntukkan kepada keturunan veteran perang kemerdekaan 1971 dan dua peratus kepada orang daripada kaum minoriti atau kurang upaya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

