Tenggelamnya Sultana, tragedi kapal terburuk yang mengorbankan lebih ramai nyawa berbanding Titanic

Dari Penulis

Tragedi kapal Sultana tidak sepopular Titanic. Namun, ia masih dianggap sebagai tragedi maritim paling berdarah dalam sejarah Amerika Syarikat. Kemalangan kapal enjin wap itu pada 27 April 1865 di sungai Mississippi telah mengorbankan ribuan nyawa.

Pada 21 April 1865, kapal Sultana berlepas dari New Orleans menuju ke utara sungai Mississippi. Semasa dalam perjalanan, seorang jurutera kapal mendapati terdapat kebocoran pada dandang kapal.

Semasa kapal berlabuh di Vicksburg dua hari selepas bertolak dari New Orleans,  Kapten kapal, J. Cass Mason cuba untuk membaiki masalah tersebut. Beliau memanggil seorang pembuat dandang, R.G Taylor untuk memeriksa kerosakan dandang.

Taylor memberitahu Mason bahawa dua lapisan pada dandang kapal itu perlu ditukar. Untuk memastikan kapal berfungsi dengan baik, kerosakan itu memerlukan masa antara tiga ke empat hari untuk dibaiki.

Namun, Mason yang juga merupakan pemilik Sultana enggan mendengar pandangan Taylor. Baginya, lebih lama kapal itu tersadai di situ, lebih banyak kerugian yang akan dialaminya. Mason hanya mengarahkan agar kebocoran dandang itu ditampal buat sementara waktu.

Foto kapal Sultana yang penuh muatan yang diambil sehari sebelum ia meletup dan karam.

Ini kerana ketika itu semasa era Perang Saudara meletus, kebanyakan pengendali kapal stim yang mendapat kontrak dengan Jabatan Perang akan menerima $5 untuk seorang tentera dan $10 untuk setiap pegawai yang dibawa pulang dengan kapal mereka.

Mason antara yang mendapat kontrak tersebut. Bukan itu saja, dia turut merasuah ketua tentera supaya mendapat lebih ramai tentera untuk dibawa dengan kapalnya.

Pada 24 April 1865, ribuan tentera dan tahanan perang diarahkan menaiki kapal Sultana. Seramai 2,400 penumpang dipaksa menaiki Sultana, walaupun ketika itu masih ada dua lagi kapal lain yang masih kosong di pelabuhan Vicksburg. Ini kerana taktik licik Mason yang memberi rasuah untuk mendapatkan lebih ramai penumpang untuk kapalnya.

Mason sanggup menyumbatkan ribuan penumpang itu sehingga mereka bersesak-sesak di dalam ruangan kapal itu sedangkan hakikatnya, kemampuan Sultana adalah untuk membawa seramai 376 penumpang sahaja. Kerana terlalu ramai penumpang, dek kapal jadi melandut sehingga krew terpaksa memasak rasuk untuk mengukuhkan dek supaya tidak runtuh.

Semasa Sultana tiba di Helena, Arkansas, kapal itu hampir terbalik apabila para askar pergi ke sebelah tepi kapal hanya untuk bergambar bersama seorang jurugambar.

Walaupun krew telah memunggah keluar 250 tong gula dan 97 tong wain, berat kapal itu masih dalam keadaan bahaya. Sultana sebenarnya bergelut untuk membawa kapasiti penumpang yang enam kali ganda lebih banyak daripada yang sepatutnya.

Gambaran Sultana ketika terbakar.

Pada pukul 2.00 pagi bertarikh 27 April 1865 semasa sedang berlayar tujuh batu ke utara Memphis di sungai Mississippi, tiga dandang kapal telah meletup yang membawa kepada kehancuran Sultana.

Sisa letupan tersebut kemudiannya merebak sehinggakan keseluruhan kapal terbakar dan menghasilkan api yang begitu marak. Nyalaan ini begitu besar sehinggakan ia mampu dilihat dari daratan Memphis.

Ramai yang terbunuh kerana terkena serpihan logam dan bara arang batu yang berterbangan, wap panas yang meluap-luap, dek kapal yang runtuh dan juga kerana kebakaran atas kapal. Ada juga yang terbunuh kerana lemas apabila tercampak ke dalam sungai.

Dipercayai lebih 1,800 penumpang terkorban dalam insiden Sultana, lebih ramai berbanding mangsa Titanic. Namun, tragedi Sultana ketika itu kurang mendapat perhatian umum.

Ini kerana ketika itu berita lebih didominasi dengan peristiwa tamatnya Perang Sivil Amerika dan juga tragedi pembunuhan Presiden Abraham Lincoln. Akibatnya, tragedi Sultana itu kurang ditekankan dalam akhbar-akhbar berpengaruh Amerika waktu itu.

Tiga suruhanjaya siasatan ditubuhkan untuk menyiasat tragedi tersebut, namun tiada sebarang dakwaan yang dikenakan. Pengkaji percaya, muatan berlebihan yang dibawa Sultana menyebabkan dandang kapal itu bergelut untuk bekerja bagi membawa muatan seberat itu sebelum akhirnya meletup.

Apa jadi pada kapten Mason yang tamak? Kapten kapal Sultana itu turut terkorban, tenggelam bersama niat buruknya yang hanya mahu mengaut keuntungan.

Model kapal Sultana yang menggambarkan keadaan kapal itu setelah berlakunya letupan.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Ulek Mayang, Kuda Kepang: ‘Saya rasa ada roh mahu masuk ke dalam tubuh’ – Sam Famulan 

"Saya tak takut hantu. Tapi saya takut apabila lagu itu dimainkan." Pengakuan itu kedengaran pelik, namun itulah pengalaman yang didakwa...

More Articles Like This