Benarlah kata pepatah genggam bara api, biar sampai jadi arang. Sesusah mana sesuatu pekerjaan itu, jika dilakukan dengan tekun dan sabar akan menjadi sempurna jua akhirnya. Berkat usaha dan bersungguh, tanpa kenal erti penat membuahkan hasil buat Nafizah Ismail yang mengusahakan produk rempah ratus di bawah jenama Hajje.

Perniagaan yang diusahakan sejak tahun 2018 ini, semakin berkembang luas di pasaran sekitar Pulau Pinang terutamanya di Bukit Minyak, Seberang Perai. Menurut Nafizah yang mesra disapa sebagai Kak Fizah, minatnya dalam bidang masakan, telah membawa dirinya menceburi perniagaan berasaskan rempah ratus ini secara serius.
“Kak Fizah memang suka masak. Sejak dulu lagi, selalu melihat mak memasak serta menggiling rempah ratus. Dari situ timbul minat dan mula belajar pelbagai resipi dari kawan-kawan, mami Penang dan orang India. Mereka cukup hebat dalam masakan Utara terutamanya masakan mamak ‘style’. Dari situlah, Kak Fizah bermula,” ujarnya selaku Pengarah Urusan Hajje, yang sentiasa berfikiran positif dan sentiasa merebut peluang mempromosikan produk keluaran syarikatnya.

Pada awal perniagaan, Kak Fizah mengeluarkan produk berasaskan pes. Namun di sebabkan kekangan kewangan terutamanya keperluan untuk pembelian mesin memproses pes yang melibatkan kos yang lebih besar, Kak Fizah mengambil keputusan untuk menumpukan produk rempah ratus dan ianya lebih pratikal.
Bukan sesuatu yang mudah, sepanjang 6 tahun berniaga proses memasarkan produk antara cabaran yang terpaksa dilalui. Namun ia bukanlah alasan untuk tidak terus mencuba. Sebagai usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS), Kak Fizah sentiasa peka dengan keperluan dan kemahuan pasaran serta sentiasa mengintai peluang yang ada.
Uniknya dan keistimewaan produk Hajje ini lebih menjurus kepada cita rasa masakan Pulau Pinang yang berasaskan nasi kandar. Terdapat 9 produk yang kini berada di pasaran antaranya Rempah Kari Ayam/Daging, Rempah Ayam Tandoori, Tepung Goreng Ibu Rempah, Rempah Kurma, Rempah Kari Udang/Sotong/Ikan, Rempah Sup Meletop, Rempah Masak Hitam, Rempah Ayam Goreng dan Rempah Bakso.



Usaha dan kerja kerasnya selama ini berbaloi, apabila produk Hajje mendapat perhatian dari pelbagai agensi kerajaan dan Persatuan Pedagang & Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama). Pelbagai strategi pemasaran dipelajari, kursus perniagaan dan pameran produk disertai. Perdasama antara yang banyak membantu dalam melebarkan pasaran dan mempromosikan produk Hajje ke pasaran tempatan.
“Impian Kak Fizah, inginkan orang ramai di negeri-negeri lain kenal dengan rempah Hajje dan merasai keenakan masakan asli Pulau Pinang. Selain terus memenuhi pasaran tempatan sehingga menembusi pasaran antarabangsa, suatu hari nanti,” ujarnya yang turut bersyukur kerana ke semuanya produknya mempunyai pengesahan Sijil Halal diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang rempah ratus Hajje boleh layari laman instagram hajje_spice_shop, laman facebook Rempah Ratus HAJJE, Tiktok hajje spice shop dan boleh mendapatkan produk Hajje di Shopee.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

