Celakalah kedua belah tangan Abu Lahab dan celakalah dia. Hartanya dan apa yang diusahakannya tidak berguna baginya. Dia akan merasai bakaran neraka yang mempunyai api yang marak membakar. Begitu juga isterinya menjadi pembawa kayu api yang dahulunya suka menyebar fitnah dan mengadu domba. Di lehernya pada hari Kiamat ada tali yang tersimpul mati untuk menariknya ke neraka.
Surah al-Masad adalah surah pendek yang mengandungi lima ayat dan merupakan surah ke 111 dalam turutan surah al-Quran. Al-Masad yang bermaksud tali yang disimpul diturunkan kerana perbuatan Abu Lahab dan isterinya yang suka menyakiti Rasulullah s.a.w. dan memusuhi dakwah Baginda. Dalam riwayat Ibnu Abbas r.a. mengatakan,
“Ketika turunnya firman Allah Taala, (Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat) as-Syu’ara: 214, Nabi s.a.w. mendaki gunung Safa dan Baginda s.a.w. menyeru,
“Wahai Bani Fihr! Wahai Bani ‘Adi! (suku-suku Quraisy) sehinggalah mereka berkumpul. Bahkan apabila seseorang tidak dapat keluar, dia akan mengirim utusan untuk melihat apa yang terjadi. Maka Abu Lahab dan kaum Quraisy datang. Lalu Baginda bersabda,
“Bagaimana pendapat kamu jika aku khabarkan kepada kamu bahawa ada pasukan berkuda di lembah yang ingin menyerang kamu, adakah kamu mempercayaiku?” Mereka berkata,
“Ya! kami tidak pernah mendapati kecuali engkau seorang yang jujur.” Baginda berkata,
“Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum datang azab yang dasyat (di akhirat)” Abu Lahab berkata,
“Celakalah engkau sepanjang hari, adakah untuk ini engkau kumpulkan kami?” maka turunlah ayat; (Celakalah kedua belah tangan Abu Lahab dan celakalah dia. Hartanya dan apa yang diusahakannya tidak berguna baginya) surah al-Masad: 1-2”
Surah yang termasuk dalam kategori Makiyyah ini memperihalkan tentang keadaan Abu Lahab dan isteri di akhirat nanti yang mana mereka telah ditetapkan tempatnya di dalam azab api neraka. Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil adalah orang yang banyak melakukan perkara fasiq, tidak menerima janji Allah dan banyak melakukan kerosakan di muka bumi. Perbuatan mereka berdua yang begitu gemar dan tidak lelah menyakiti serta memusuhi dakwah Baginda s.a.w. dijanjikan balasan yang setimpal dari Allah S.W.T.
Secara langsung surah ini memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang bersifat seperti Abu Lahab dan isterinya maka mereka akan mendapat balasan azab api neraka.
Surah al-Masad yang juga disebut surah al-Lahab juga sebenarnya menjadi petunjuk kepada mukjizat al-Quran yang tersirat dengan perkara ghaib. Ini kerana ketika surah ini diturunkan, Abu Lahab dan isterinya masih hidup dan mempunyai banyak masa dan peluang lagi untuk memeluk Islam, sebagaimana yang berlaku kepada sahabat yang lain seperti Umar al-Khattab dan Abu Sufyan. Sementalah lagi surah ini turun ketika Baginda s.a.w. di Mekah dan belum lagi berhijrah ke Madinah.
Namun inilah yang dikatakan mukjizat al-Quran. Ia bukan sahaja berbicara tentang masa lalu dan keadaan semasa, malah turut memberi khabar masa hadapan. Dengan turunnya surah ini jelas bahawa peluang keduanya untuk bertaubat dan beriman kepada Allah tertutup sekalipun mereka masih sihat dan bernyawa. Mereka berdua telah disediakan tempat dan tugas yang khas di dalam neraka.
Hikmah dengan turunnya surah ini juga secara tidak langsung ia memberi suntikan kekuatan kepada pendakwah agar terus istiqamah berdakwah walaupun disakiti, dan percaya bahawa mereka yang ingkar kepada Allah dan menyakiti usaha dakwah pasti akan beroleh balasan sebagaimana Abu Lahab dan isteri. Wallahu a’lam
____________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

