Manusia perlu mengetahui bahawa dia adalah makhluk yang lemah. Namun pada masa yang sama, manusia juga mempunyai kekuatan. Allah memberikan kepada hamba-hamba Nya musim-musim ibadah yang diselang-selikan agar mereka memanfaatkan kekuatan yang terkumpul dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.
Bulan Ramadan merupakan salah satu musim-musim ibadah. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadan, golongan syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka. Pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang melaungkan ,”Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah” Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam” (HR al-Tirmizi, dihukum sahih oleh al-Albani. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dengan sedikit perbezaan lafaz)
Hadis di atas jelas menunjukkan betapa bulan Ramadan merupakan bulan rahmat. Di dalam satu riwayat dinyatakan lafaz berikut,
“Apabila tiba Ramadan, dibuka pintu-pintu rahmat dan ditutup pintu-pintu Jahannam serta dirantai golongan syaitan” (HR Muslim)
Kebanyakan para ulama hadis menghuraikan bahawa lafaz rahmat dalam hadis Muslim ini merupakan periwayatan mengikut kefahaman perawi terhadap lafaz al-Jannah atau merupakan salah satu nama bagi syurga. Itu semua boleh diterima dan semua itu menunjukkan bulan Ramadan adalah bulan yang penuh kerahmatan.
Kita tidak perlu pergi lebih jauh untuk memahami kerahmatan Ramadan. Ianya terdapat dalam hadis di atas. Semasa menghuraikan hadis ini, al-Imam an-Nawawi rahimahullah berkata,
“al-Qadhi Iyadh telah berkata,
“Hadis ini boleh difahami atau diterjemah secara zahir dan hakikat bahawa pembukaan pintu-pintu syurga dan penutupan pintu-pintu neraka serta pembelengguan golongan syaitan adalah merupakan tanda masuknya bulan itu dan merupakan pengagungan terhadap kehebatannya. Syaitan pula dirantai dalam erti kata mereka terlarang daripada menyakiti orang yang beriman dan daripada mempengaruhi mereka”
Hadis ini juga boleh difahami secara majaz atau metafora bahawa ianya menunjukkan pahala yang banyak dan keampunan. Golongan syaitan pula berkurangan dalam bentuk penyesatan dan gangguan lalu mereka menjadi seolah-olah dirantai. Golongan syaitan dirantai daripada sebahagian perkara dan sesetengah manusia.
Maksud pembukaan pintu-pintu syurga pula ialah simbolik bagi segala ketaatan yang dibuka oleh Allah untuk hamba-hambanya dalam bulan ini seperti puasa, bangun malam, melakukan kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan. Ini semua merupakan punca untuk masuk syurga dan merupakan pintu-pintu syurga.
Begitu jugalah penutupan pintu-pintu neraka dan pembelengguan golongan syaitan merupakan simbolik bagi kekuatan para hamba dalam meninggalkan maksiat. Al-Imam as-Suyuti juga membahaskan perkara ini dan beliau kemudiannya menukilkan kata-kata al-Imam al-Zain ibn al-Munir,
“Pandangan pertama (iaitu hadis ini difahami secara zahir dan hakikat) adalah lebih tepat kerana tidak wujud keperluan untuk mengubah lafaz hadis itu daripada maksudnya yang zahir”
Dengan perbincangan ringkas berkenaan mafhum hadis itu dapatlah kita fahami bahawa Ramadan memang merupakan bulan yang penuh dengan kerahmatan. Syurga dan neraka yang telah siap dicipta itu disusun dalam bentuk yang menggambarkan kerahmatan ini. Pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Namun ia tidak bermaksud syurga dan neraka sudah didiami kerana kedua-duanya hanya akan diisi pada hari Kiamat kelak. Wallahu a’lam.
______________________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

