Sejak berhijrah ke Kuala Lumpur, ramai di kalangan teman Nurul Marisa Merisat yang beragama Islam dan bertudung. Entah kenapa dia begitu senang melihat mereka berbusana begitu. Di pandangan matanya mereka terlihat begitu cantik, ayu dan sopan.
Apatah lagi dengan fesyen bertudung sekarang yang pelbagai rekaan dan warna, menyebabkan dia begitu asyik melihat mereka.
“Ada yang ringkas, dan ada yang lebih bergaya. Apa pun gaya yang ditampilkan, ia bagaikan memberi inspirasi untuk saya mendekati Islam. Dalam diam, hati saya terasa bagai ditarik-tarik untuk mencuba memakainya.”
Begitu pun peluangnya mendekati agama Islam seakan lebih terbuka apabila dia secara kebetulan menyewa rumah bersama dengan rakan yang beragama Islam. Dari situ dia mula mengetahui banyak perkara tentang agama Nabi Muhammad s.a.w.
Sepanjang empat tahun bermastautin di kota metropolitan ini, suatu hari Marisa berpeluang mengikut teman-temannya ke surau untuk menunaikan solat.
“Pada mulanya saya ingatkan orang yang beragama lain tidak boleh masuk ke surau. Tetapi mungkin disebabkan muka saya yang mirip dengan orang Melayu, dan cara penampilan saya, maka mereka tidak mengesyaki apa-apa.
“Itulah pertama kali saya melihat orang Islam mengerjakan solat. Indah dan damai sangat suasana ketika itu. Kelihatan semua jamaah wanita memakai pakaian yang sama serba putih tanpa mengira pangkat dan darjat. Mereka tunduk sujud menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Saya pula duduk menunggu sehingga mereka selesai mengerjakan solat.” Ujarnya.
Sejak dari itu pengalaman ini sering berulang. Dia pasti akan mengikut teman-temannya ke surau dan hanya duduk di saf paling belakang sambil memerhati jamaah tunduk dan khusyuk mengerjakan solat.
Pada mulanya tiada apa-apa pun yang berlaku. Namun lama kelamaan secara perlahan-lahan seperti ada suatu perasaan aneh dan lain yang mula menyelinap dalam hati dan sanubarinya. Sepertinya hati Marisa mula tertarik untuk merasai pengalaman itu. Bertelekung serba putih dan solat bersama-sama jemaah lain.
Gementar hati mengucap syahadah
Suatu hari ketika Marisa berkumpul dengan teman-temannya di kedai makan, seorang kawannya yang terlebih dahulu memeluk Islam membawa senaskah buku tentang kaedah mengerjakan solat.
“Kami duduk semeja. Kemudian saya membelek-belek buku tersebut untuk melihat gambar yang menunjukkan cara-cara solat bagi wanita. Entah bagaimana secara spontan terluncur dari mulut saya pertanyaan bagaimana cara untuk memeluk Islam?
“Seorang daripada mereka berkata perlu berjumpa dengan imam. Manakala seorang lagi teman menyarankan agar saya terus bertemu dengan pegawai agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Tanpa banyak soal saya hanya mengangguk dan mengikut apa yang mereka cadangkan.” Jelas anak kedua daripada tujuh bersaudara itu.
Sebelum melaksanakan keputusannya, Marisa terlebih dahulu menghubungi keluarganya di kampung bagi bertanyakan pendapat mereka. Jika boleh dia tidak mahu membelakangi kedua ibu bapanya sebelum mengambil keputusan luar biasa ini.
Mendengar permintaan dari Marisa, kedua ibu bapanya tidak membantah malah mereka menerima keputusan Marisa dengan hati terbuka. Kebetulan mak cik di sebelah ayahnya juga adalah seorang mualaf, jadi tindakan Marisa ini bukanlah sesuatu yang sukar bagi mereka untuk terima.
Sepanjang perjalanan menuju ke pejabat agama, hatinya merasa tidak tenteram. Gementar ada, gelisah pun ada. Seram sejuk dirasakan dirinya kerana inilah detik perubahan paling bermakna dalam hidupnya. Berbagai perasaan dan bayangan muncul dalam kotak fikiran.
Pada waktu yang sama dia turut merasakan perasaan berbelah bahagi sama ada mahu diteruskan hasratnya itu atau sebaliknya. Namun begitu dia hanya membiarkan bisikan ini berlalu. Di saat ingin melafazkan kalimah syahadah, debaran gelodak jiwanya semakin kencang dan perasaan sedih menyelubungi dirinya.
Bersaksikan dua orang teman baiknya di hadapan pegawai agama JAWI, akhirnya Marisa melafazkan syahadah iaitu kalimah agung yang menggentarkan seluruh pelosok dunia. Usai bersyahadah yang mengakui kekuasaan Allah S.W.T. dan Muhammad sebagai pesuruh Nya, entah kenapa segala beban yang sebelum ini dirasakan begitu berat bagaikan hilang sekelip mata seperti dibawa angin. Hatinya terasa begitu lapang, tenang dan sayu. Satu perasaan yang tidak pernah dia alami sebelum ini.
Syukur kepada Allah kerana akhirnya segala hasratnya tercapai dan dia kembali kepada fitrah. Siapa sangka dirinya akan bertukar agama dan memeluk Islam. Setelah itu Marisa mula banyak belajar tentang Islam daripada teman-teman, guru agama di Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) serta majikannya Rasidah Begum yang juga seorang mualaf.
Dia diajarkan cara-cara menunaikan solat dan pelbagai perkara asas fardu ain. Dia masih ingat solat pertama yang dilakukan setelah beragama Islam adalah solat Zohor. Walaupun pada mulanya agak kekok dan perlukan bimbingan serta pantauan, tetapi kini dia sudah boleh melakukannya sendiri.
Anak kelahiran Sibu Sarawak ini berharap imannya akan terus teguh biarpun apa sahaja ujian yang melanda. Baginya tiada yang berubah melainkan dia kini seorang muslim. Wallahu a’lam
____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

