ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, semalam atas pertuduhan membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah akan ditahan kerja.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain seperti dilaporkan Harian Metro Online, hari ini.
Menurut Razarudin, Bukit Aman telah pun menerima cadangan daripada Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berhubung tindakan ditahan kerja itu.
“Pihak Bukit Aman menerima cadangan itu untuk menahan kerja anggota polis terbabit,” katanya.
Semalam, anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan itu dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada Muhammad Alif, 26 memandangkan kes bunuh merupakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di Ladang SKC Kledang, Hulu Selangor antara pukul 9 pagi pada 10 Julai hingga pukul 6 petang 15 Julai lepas.
Baca artikel lain: Lans Koperal Alif Monjani didakwa bunuh Nur Farah Kartini
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan kes.
Sebelum ini, Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Tanjung Malim sebelum ditemukan meninggal dunia di dalam ladang kelapa sawit di Hulu Selangor pada 15 Julai lepas.
Susulan penemuan jasad pekerja di sebuah syarikat percetakan itu, tertuduh telah ditahan oleh pihak polis pada hari yang sama.
Muhammad Alif Monjani kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai sebelum dilanjutkan lagi tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sepanjang tempoh itu, beberapa barang kes berkaitan kes itu telah ditemukan di sekitar lokasi penemuan mayat mangsa selain di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.
Antara barangan yang ditemukan adalah telefon pintar, beg tangan, kunci kereta dan dompet berisi kad pengenalan Nur Farah.
Jenazah Allahyarhamah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Kampung Nyiur Manis, di Pekan Pahang pada 18 Julai lepas selepas jenazahnya dituntut oleh ahli keluarga di Hospital Sungai Buloh.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

