MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) menyatakan rasa kesal dengan sikap biadab Pengerusi DAP, Lim Guan Eng terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam isu sumbangan syarikat alkohol terhadap sekolah vernakular, baru-baru ini.
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, MPM sebagai badan bukan kerajaan yang bebas dan tidak memihak mana-mana parti pernah juga menegur dan mengkritik Fadhlina sebelum ini.
Bagaimanapun, kata beliau, dalam isu melibatkan syarikat alkohol itu, Fadhlina telah mengikut peraturan di bawah Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan (KPM).
Kamal Shukri menegaskan, garis panduan itu telah menyatakan tentang penyaluran dan penerimaan sumbangan daripada sektor swasta dan bukan swasta kepada sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah KPM.
Jelasnya, pekeliling tersebut dengan tegas menyatakan sumbangan yang diterima oleh sekolah tidak boleh berasal daripada hasil aktiviti yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid termasuk perjudian, rokok, dadah dan minuman keras.
“Panduan ini bertujuan untuk melindungi pelajar daripada sebarang pengaruh negatif yang boleh menghalang perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani mereka.
“Islam menegah penganutnya melakukan semua perkara yang memudaratkan, malah Islam telah wujud beribu tahun sebelum Pas dan DAP.
“Tuduhan tersebut seolah-olah menggambarkan kebencian yang telah lama tersirat?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Kamal Shukri berkata, Piagam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang pengiklanan arak kepada anak-anak dan remaja juga telah ditegaskan dalam European Charter on Alcohol (1995).
Baca artikel lain: Penganjuran program, penyaluran sumbangan sekolah: Garis panduan sedia ada kekal – Fadhlina
Katanya, semua kanak-kanak dan remaja mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran yang bebas daripada kesan negatif pengambilan alkohol dan promosi minuman keras.
Tegas beliau, piagam tersebut menggariskan kepentingan melindungi generasi muda daripada pengaruh negatif yang boleh membawa kepada masalah kesihatan dan sosial di kemudian hari.
“Ini adalah selaras dengan usaha global untuk memastikan persekitaran yang sihat dan selamat bagi perkembangan kanak-kanak dan remaja.
“Di samping itu, Akta Kanak-Kanak 2001 walaupun tidak secara langsung menyebut tentang pengiklanan arak di sekolah, akta ini melindungi kanak-kanak daripada pengaruh negatif arak.
“Pengiklanan arak di sekolah boleh dianggap sebagai melanggar semangat perlindungan yang termaktub dalam akta ini,” katanya.
Semalam, Guan Eng mengingatkan Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO sambil menegaskan bahawa Fadhlina bukan ‘Menteri Pendidikan Pas’.
“Komen Fadhlina sebelum ini mengenai acara kutipan dana pendidikan Cina agak keras. Saya harap dia akan mempertimbangkan semula pendiriannya itu.
“Beliau bukan menteri pendidikan PAS; beliau mewakili Pakatan Harapan, kerajaan perpaduan dan seluruh negara,” katanya.
Sebelum itu, KPM menjelaskan bahawa garis panduan sedia ada untuk kutipan dana sekolah yang termasuk larangan sebarang pameran dan promosi minuman alkohol di premis sekolah kekal.
Bagaimanapun kerajaan juga bersetuju untuk mempertimbangkan membenarkan sekolah vernakular terus menerima sumbangan melalui lembaga pentadbiran sekolah, seperti yang diamalkan sebelum ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

