PEMAIN sensasi Selangor FC, Faisal Halim masih meneruskan proses rawatan fisioterapi dengan pergerakan tangan kiri yang melecur akibat simbahan asid masih belum pulih 100 peratus.
Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon seperti dilaporkan Sinar Harian Online, hari ini.
Menurut Johan, Faisal atau lebih selesa disapa Mickey itu turut melakukan senaman menguatkan paru-paru bagi mendapatkan semula kecergasan beliau.
Beliau berkata, Selangor FC memberi ruang kepada Faisal untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali beraksi bersama Gergasi Merah.
“Memang Faisal sedang fokus kepada pemulihan beliau. Sekarang ini masih buat fisio sebab pergerakan tangan masih belum 100 peratus. Perkara ini mungkin ambil masa sedikit tetapi beliau sudah mula menjalankan aktiviti yang berkaitan.
“Perkara ini (bila beliau akan kembali beraksi) saya pun tak sempat dapat maklum balas daripada doktor. Susah nak cakap dan ia bergantung kepada berapa cepat proses pemulihan untuk mendapat fungsi penuh tangannya.
Baca artikel lain: Faisal jalani fisioterapi intensif, pulihkan fungsi tangan kiri
“Jika tangannya itu dapat segera pulih, maka dia akan dapat kembali bersama pasukan lebih awal. Buat masa ini kita ambil pendekatan memantau secara ‘day to day basis‘,” katanya.
Mengulas lanjut, Johan Kamal memaklumkan, Faisal berada dalam keadaan baik dan cerita terutama selepas kembali menjalani latihan ringan di padang.
“Beliau juga dapat berjumpa dengan rakan sepasukan dan semangatnya sangat tinggi. Beliau sangat komited dalam pemulihan beliau.
“Dari semangat memang tak boleh dipersoalkan komitmen beliau cuma dari segi fizikal untuk dia pulih sepenuhnya dengan program pemulihan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Faisal yang juga pemain sayap kebangsaan menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.
Beliau mengalami kelecuran tahap empat dan tangan kirinya merupakan bahagian yang paling terjejas sehingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

