LEBIH 400 peniaga dan pengunjung menyertai sesi walkabout dan libat urus SKDS 2.0 MySubsidi Diesel bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini.
Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan program itu bertujuan untuk memberi bantuan semakan dan khidmat nasihat berkaitan tatacara permohonan BUDI MADANI MySubsidi Diesel selaras dengan pengumuman Kerajaan baru-baru ini.
Jelas beliau, program turut menyasarkan semua syarikat pengangkutan barangan darat yang layak untuk mendaftar bagi mendapatkan kemudahan diesel bersubsidi melalui sistem fleet card.
Menurut Fuziah, ia seterusnya dapat membantu mengawal kos harga barangan di pasaran khususnya bagi barangan keperluan harian rakyat.
“Pada masa yang sama, kelima-lima syarikat minyak turut turun padang untuk membantu memudahkan proses semakan dan pendaftaran kenderaan logistik oleh pihak syarikat.
“Syarikat-syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan boleh memohon melalui SKDS 2.0 MySubsidi Diesel di bawah kawal selia KPDN.
“Permohonan lengkap boleh diluluskan serta-merta. Setakat 7.10 pagi, 4 Ogos 2024, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang telah diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS adalah sebanyak 259,141 kenderaan yang melibatkan 93,035 syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, bagi Pahang, sebanyak 5,068 syarikat dan 11,445 kenderaan telah diluluskan permohonan diesel bersubsidi setakat 31 Julai ini.
Katanya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang turut membuka kaunter bagi memudahkan orang ramai yang layak untuk membuat semakan dan permohonan melalui BUDI MADANI Individu dan BUDI MADANI Agri-Komoditi.
Jelas beliau, pendekatan bersemuka seperti itu dapat membantu rakyat untuk mendapatkan penerangan dan perkhidmatan secara terus berhubung permohonan mereka.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

