POLIS membuat tangkapan semula ke atas suspek kes culik kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, hari ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar yang mengesahkan penangkapan itu berkata, penahanan semula suspek susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Menurut beliau, suspek ditahan semula bagi membantu siasatan selepas kesemua alatan itu ditemukan di kediamannya di Kulai, Johor.
“Polis Johor mengesahkan membuat tangkapan semula ke atas lelaki warga tempatan yang sebelum ini ditangkap berhubung kejadian culik kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun di kawasan Eko Galleria yang berlaku pada 20 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Kumar memaklumkan, suspek ditahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Jelasnya, penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.
Pada masa sama, kata beliau, suspek turut ditahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah yang jika sabit kesalahan hendaklah dipenjara selama tempoh boleh sampai tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Suspek lelaki berusia 31 tahun itu dijangka dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman baharu,” katanya.
Baca artikel lain: Motif penculikan Albertine Leo didedah selepas siasatan lengkap
Sebelum ini, tempoh sambungan reman suspek tamat hari ini dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebelum tangkapan semula dibuat.
“Polis menasihatkan masyarakat terutamanya golongan ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan lebih awal dan penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan.
“Masyarakat perlu cakna terhadap trend jenayah masa kini dan menyampaikan kesedaran serta kebimbangan jenayah kepada anak-anak supaya mereka lebih berhati-hati dalam pergaulan terutama di media sosial,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, suspek ditahan bersama mangsa, Albertine Leo kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu, di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor.
Suspek kemudian ditahan reman selama tujuh hari sebelum disambung enam hari lagi bagi siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.
Empat suspek lain berusia 28 hingga 55 tahun yang ditahan sebelum itu direman empat hari sehingga 26 Julai lalu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan tempoh reman terhadap mereka tidak disambung.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

