PENYANYI Jay Jay dilaporkan meninggal dunia di Hospital Thompson Kota Damansara, Selangor, malam tadi.
Khabar sedih itu dikongsikan oleh rakan artis iaitu Datuk Hattan yang mengesahkan berita pemergian Allahyarham.
“Saya dapat berhubung dengan isterinya dan dia mengesahkan Jay Jay sudah meninggal dunia.
“Ketika ini urusan jenazah sedang dilakukan di hospital,” katanya.
Jenazah dijangka akan disolatkan sebelum Zohor di Masjid Al-Husna, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.
Pada 23 Mei lalu, Jay Jay menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
Susulan pembedahan tersebut, Jay Jay diserang strok dan meneruskan rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diwakili oleh Setiausaha Politik beliau iaitu Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan kepadanya.
Di awal karier seni, Jay Jay merupakan vokalis dan pemain bass untuk kumpulan Carefree.
Lagu hits Rindu Bayangan antara karya malar segar yang sehingga kini masih menjadi pilihan peminatnya.
Selepas mengundurkan diri daripada kumpulan Carefree, kariernya terus gemilang dengan kelahiran tujuh buah album solo.
Jay Jay juga pernah memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988 dan Vokal Terbaik Lelaki pada Anugerah Industri Muzik 1998.
Malah, Jay Jaypernah memenangi kategori Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu pada 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.
Berita lanjut menyusul.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

