Populasi Kuala Lumpur cecah 8.8 juta orang

Dari Penulis

POPULASI di ibu negara kini dianggarkan melebihi 8.8 juta orang dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.25 peratus berbanding tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, jumlah itu dijangka terus bertambah mencecah 9.8 juta orang menjelang 2030 dan pembangunan pesat itu menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi lebih proaktif dalam perancangan dan penyediaan infrastruktur.

“Pertumbuhan populasi ini bukan sahaja melibatkan peningkatan semula jadi dalam kawasan bandar, malah juga migrasi masuk yang tinggi dari luar bandar.

“Ini memberikan satu tekanan kepada infrastruktur sedia ada dan menuntut supaya kita menyediakan satu perkhidmatan asas yang lebih baik buat semua warga kota agar Kuala Lumpur ini menjadi sebuah bandar berdaya huni. Tidak dilupakan juga, isu seperti pencemaran udara dan kekurangan ruang hijau turut menjadi antara kebimbangan utama yang perlu diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pelancaran 10 Garis Panduan Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Menara 1 DBKL, hari ini.

Bagi menghadapi semua cabaran itu, Dr Zaliha berkata DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan perlu terus peka dengan keperluan dan kehendak semasa pembangunan di ibu negara untuk memastikan kehidupan yang berkualiti.

Baca artikel lain: 2023: China kekal populasi rakyat paling ramai di dunia

“Setiap keputusan pembangunan perlu dibuat dengan pertimbangan yang wajar untuk memastikan keseimbangan di antara pembangunan dan kesejahteraan warga kota,” katanya.

Mengenai pelancaran garis panduan berkenaan, Dr Zaliha berkata ia bertujuan memastikan amalan tata kelola yang baik diamalkan di DBKL dengan setiap langkah perancangan pembangunan dapat dipantau dengan lebih efektif selain menilai tahap keberkesanan sesuatu polisi serta strategi dilaksanakan dan mempromosikan penambahbaikan berterusan.

“Setiap garis panduan itu adalah hasil daripada kajian terperinci dan konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan. Dengan pendekatan yang inklusif seperti ini, saya berharap agar ia akan memberi impak positif kepada setiap warga kota,” katanya.

Antara garis panduan itu, merangkumi perancangan residensi MADANI; kemudahan ruang penjaja MADANI; pelaksanaan perancangan pembangunan petak pengecasan kenderaan elektrik dan semakan bangunan rendah karbon.

Kesemua garis panduan berkenaan akan dipaparkan kepada awam melalui laman web DBKL untuk rujukan semua pihak.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This