SETIAUSAHA Agung Bersatu Hamzah Zainudin menyeru supaya masyarakat itu memecahkan sokongan kepada calon Pas dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Katanya, pembahagian undi 50 peratus-50 peratus itu sebagai satu strategi supaya mana-mana parti yang bertanding tidak mempermainkan masyarakat Orang Asli.
“Kita kena ada strategi contohnya separuh (sokongan Orang Asli kepada) BN, separuh PN menunjukkan bahawa mereka tahu bahawa jangan diperkotak-katikan mereka. Jadi, orang PN pun sedar orang BN pun sedar. Itu yang patut mereka lakukan,” katanya kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Langsat, Kuala Betis, Gua Musang, hari ini.
Beliau berkata, melalui cara sebegitu, kerajaan yang memerintah tidak boleh mempermainkan masyarakat Orang Asli.
Hamzah mengambil contoh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk melakukan reformasi masyarakat Orang Asli, tetapi tiada sebarang pembaharuan dilakukan sehingga kini.
Beliau turut menegaskan, PRK DUN Nenggiri harus menjadi medan untuk membawa suara rakyat menyatakan kesengsaraan yang dihadapai ketika ini.
Hamzah berkata beliau melihat perubahan pada PRK DUN Nenggiri ini apabila pembangkang pun dapat memasuki kawasan Orang Asli.
“Ia memberi sesuatu yang terbuka pada diri saya bahawa masyarakat Orang Asli juga melihat Nenggiri ini sebagai alat menyuarakan apa yang mereka tidak puas hati,” katanya lagi.
Hamzah berkata, masyarakat Orang Asli mahu supaya kerajaan negeri mahupun Persekutuan memberi perhatian kepada mereka.
SEMENTARA itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr, Mohamed Fadzli Hassan berikra akan membantu masyarakat Orang Asli di Gua Musang kerana mereka juga adalah rakyat negeri itu.
‘’Saya terharu ini kali pertama kita masuk (bertemu JKOAK) dan diterima baik. Saya sedih apabila mendengar rungutan pimpinan masyarakat Orang Asli terutamanya masih tertinggal dari sudut prasarana yang sepatutnya diambil berat oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli dan kerajaan persekutuan,’’ katanya kepada pemberita.
Fadzli berkata beliau ‘hairan’ masalah prasarana di Gua Musang yang sentiasa diwakili BN tidak dijaga.
‘’Kita tak nafi kerajaan Kelantan juga sepatutnya ada tanggungjawab memandangkan kita susah nak masuk, tapi apabila kita sudah boleh masuk, insya-Allah kita akan bantu. Kita tak janji nak selesai semua masalah tetapi kita janji untuk melihat permasalahan itu dan setakat mana kita mampu selesaikan,’’ katanya.

