Makan di luar bersama anak kecil pasti igauan ngeri buat ibu bapa. Karenah dan kenakalan anak yang tidak boleh duduk diam pasti akan membangkitkan seribu perasaan di hati. Sudahnya, bungkus sahaja makanan dan makan di rumah.
Sebenarnya ada caranya, di sini SAJI kongsikan tip yang boleh diaplikasikan apabila ingin makan di luar bersama anak kecil. Boleh cuba jika mahu..
- PERSIAPAN MENTAL
Persiapan mental adalah kuncinya. Siapkan diri dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Ini akan membantu ibu bapa jika berlaku perkara tidak diingini jika anak ‘buat perangai’. - PILIH RESTORAN/KAFE YANG SESUAI
Seperti yang kita maklum, anak kecil ini biasanya cepat bosan. Jika ada yang tidak kena, anak akan merengek sehinggakan kita tidak tenteram untuk menikmati hidangan. Makanya pilihlah restoran/kafe yang bersesuaian yang mempunyai ruang luas dan selesa buat anda sekeluarga. Setidak-tidaknya, anak boleh berjalan atau bermain di satu sudut sebelum pesanan makanan sampai. - WAKTU YANG SESUAI
Pastikan waktu yang sesuai untuk bawa si kecil keluar. Elakkan di waktu kebiasaan si kecil tidur atau mengantuk dan lapar. Ini kerana faktor-faktor itu akan mempengaruhi perangai dan tingkah laku anak-anak. Dan jangan pula keluar terlalu lewat malam, ia tidak elok untuk si kecil. Jika perlu, sediakan stroller supaya senang jika anak telah tidur. Mereka akan lebih ceria, jika kita membawanya keluar dalam keadaan dirinya cukup rehat. - BAWA MAINAN YANG MENARIK
Bawalah beberapa mainan yang menarik bagi mencegah anak kecil ‘buat perangai’. Contohnya buku berwarna warni, mainan dengan warna yang cerah dan juga mainan kegemaran si kecil. Awas! Jika ibu bapa membawa mainan lebih dari satu, jangan bagi kepada si kecil mainan sekaligus, tetapi berilah satu-satu. Ini kerana anak kecil biasanya cepat bosan dan disebabkan itu dia akan bertindak di luar kawalan. - PERSIAPAN DI MEJA MAKAN
Hati-hati terhadap benda-benda berbahaya yang mungkin diraih si kecil dari meja, seperti pisau atau benda-benda yang mudah pecah. Cari juga benda-benda menarik yang boleh digunakan si kecil sebagai mainan, misalnya gelas plastik. Untuk anak yang sudah lebih besar, beri ia potongan makanan untuk dipegang. Hal-hal tersebut boleh mengalihkan perhatian si kecil selama ayah dan ibu menikmati makanan. - JALANI DENGAN SANTAI
Membawa si kecil makan di luar adalah seni tersendiri. Yang terpenting adalah terus menyibukkan si kecil supaya ia tidak bosan. Mungkin ia memerlukan percubaan beberapa kali sebelum menemukan cara yang paling sesuai untuk mengalihkan pandangan si kecil sementara ibu dan ayah menjamu selera. Namun, jangan tertekan, hargai setiap detik dengan si kecil itu sebagai satu momen yang indah kerana momen seperti itu tidak mungkin akan berulang lagi.

