PENINGKATAN penggunaan vape yang mengandungi dadah berbahaya adalah sangat membimbangkan terutamanya jika berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, kata Pusat Racun Negara sambil menyatakan pusat itu telah menjalankan kajian terhadap beberapa sampel cecair vape “Magic Mushroom.”
Kajian itu mendapatai tiada dadah psilosibin dikesan dalam sampel tersebut, sebaliknya ia mengandungi dadah sintetik yang lebih berbahaya dan boleh menyebabkankan gejala keracunan yang teruk serta berpotensi membawa maut, kata pusat tersebut dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Menurut pusat itu, kajian itu dilakukan berikutan fenomena penggunaan vape “Magic Mushroom” yang semakin berleluasa dengan gejala kecelaruan mental serta tingkah laku abnormal yang teruk dialami oleh penggunanya.
“Ini menunjukkan peranti vape sangat mudah dimanipulasi dan penggunaan vape tanpa kawalan ketika ini boleh menjurus kepada penyalahgunaan dadah berbahaya termasuklah dadah-dadah sintetik baru, Ketamin, Phencyclidine dan dadah-dadah jenis Amphetamine,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, pusat tersebut memberi amaran kepada orang awam: “Jangan sekali-kali cuba menghisap vape terutamanya jika dipelawa oleh orang lain dan jangan terpedaya dengan promosi vape “Magic Mushroom” sebagai perisa atau pun dakwaan tidak berbahaya.”
“Kelompongan dalam kawalan undang-undang terhadap produk vape telah mula menunjukkan impak kepada rakyat. Setiap detik berlalu, semakin ramai lagi bakal terjebak dengan perangkap dadah melalui amalan menghisap vape yang semakin membudaya,” kata pusat itu.
Pusat Racun Negara seterusnya menggesa kerajaan perlu segera menguatkuasakan kawalan undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam bagi mengawal penggunaan vape yang berleluasa di negara ini.
Pusat penyelidikan yang terletak Universiti Sains Malaysia itu menyatakan pengguna vape yang mempunyai masalah kesihatan ketika mendapatkan rawatan di hospital perlu memaklumkan kepada petugas kesihatan tentang penggunaan rokok elektronik tersebut.
“Bagi pengamal perubatan, dapatkan sejarah penggunaan vape yang jelas seperti jenama, bentuk vape (jenis pakai buang atau produk isian semula), tempoh penggunaan dan sumber penjualan,” kata pusat itu..
Katanya, berwaspada terhadap kemungkinan kes keracunan dadah sintetik, terutamanya pada pesakit yang menunjukkan status mental yang tidak dapat dijelaskan, sawan, atau gejala kardiovaskular selepas dilaporkan menggunakan vape.
“Hantar sampel vape/cecair vape untuk ujian makmal jika perlu,” katanya sambil menyatakan sampel juga boleh dihantar kepada Unit Kesihatan Awam (UKA) bagi kes di hospital atau ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi kes di klinik kesihatan untuk siasatan lanjut.
- Hubungi Pusat Racun Negara di talian 04-6536 999 atau daftar kes ke dalam sistem MyToxData (https://mytoxdata.usm.my).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

