PENYANYI Nabila Razali memohon maaf berhubung empat pertuduhan membenarkan dan memandu kereta dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans pada Januari lalu.
Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali,31, bersama ibunya Shamsidah Abdul Rahman, 58, didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, semalam.
Penyanyi Tangis itu bagaimanapun enggan memanjangkan terbabit dan memohon orang ramai tidak mensensasikan perkara itu.
“Sebenarnya kereta itu saya hadiahkan pada ibu dan masih atas nama saya.
“Jadi, apabila terdapat kesalahan jalan raya membabitkan kenderaan itu, sekali gus sebagai pemilik saya juga terpalit.
“Diakui pada hari kejadian kereta itu memang dipandu ibu. Perkara ini juga sudah dibawa ke mahkamah dan ibu mengaku salah selaku orang kena saman (OKS),” katanya kepaa URTV.
Pada masa sama, Nabila berharap apa yang berlaku dapat memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia.
“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran bukan saja buat saya dan ibu, tapi juga seluruh rakyat Malaysia.
“Sekali lagi, sebagai pemilik kereta ini saya mohon maaf,” ujarnya.
Mengikut pertuduhan, Nabila sebagai pemilik kereta didapati membenarkan ibunya menggunakan kenderaan itu dengan LKM tamat tempoh pada 29 September tahun lalu dan tanpa polisi insurans bagi pihak ketiga.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

